Description
Ardel, anak bongsu kesayangan Dato’ Amir, sudah terbiasa hidup dalam kemewahan dan kebebasan. Namun satu insiden yang mengancam keselamatannya membuatkan Dato’ Amir dan Armin mengambil keputusan mengupah seorang bodyguard peribadi untuk mengawasinya, Hareez.
Kehadiran Hareez yang dingin, tegas dan sukar dibaca membuatkan Ardel berasa hidupnya mula dikongkong. Bertekad untuk mengusir lelaki itu daripada hidupnya, Ardel melakukan pelbagai cara agar Hareez hilang sabar dan akhirnya dibuang kerja. Malangnya, lelaki itu terlalu profesional untuk diprovokasi.
Namun, semakin lama Hareez berada di sisinya, semakin sukar untuk Ardel menafikan debaran yang mula bertapak di hati. Dalam setiap saat genting, Hareez sentiasa ada melindunginya. Dari rasa menyampah, perasaan itu perlahan-lahan bertukar menjadi cinta.
Ardel tidak pernah berputus asa untuk menawan hati Hareez. Tetapi sebagai seorang bodyguard yang profesional, Hareez sedaya upaya menolak dan menafikan perasaannya sendiri. Apabila dia mula tewas dengan perasaan yang semakin mendalam, Hareez mengambil keputusan meletakkan jawatan dan pulang ke kampung demi menjauhkan diri daripada Ardel.
Keputusan itu menghancurkan hati Ardel.
Namun takdir mempunyai rancangannya sendiri. Ketika Ardel diculik oleh musuh yang mengintainya sejak sekian lama, Hareez sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan gadis itu.
“Dalam hidup I ni, tak ada satu pun yang I nak I tak dapat. Semua akan jadi milik I. So watch out Mr Hareez. You will be mine.” ~ Ardel
“Cik Ardel anak majikan I. I pekerja yang dibayar upah. Kita berbeza. Takkan pernah sama”
~ Hareez
Dalam pertarungan antara tugas, maruah dan cinta, mampukah Hareez terus melarikan diri daripada perasaannya? Atau Ardel akhirnya berjaya menawan hati lelaki yang selama ini membina tembok setinggi langit di sekeliling dirinya?


