Description
Sinopsis/Blurb Cinta? Mana Mungkin!
Kahwin paksa! Memang taklah. Apatah lagi dengan gadis yang kita tak suka. Tak kena dengan citarasa. Jauh sangat dari ciri-ciri Wanita yang disukai. Begitulah yang terjadi dalam hidup Arif Naim. Hanya kerana dia kecewa ditinggalkan kekasih hati. Dia nekad untuk tidak lagi menjalin hubungan cinta dengan mana-mana gadis. Frust menonggeng! Itulah perkataan yang sesuai buatnya.
Melihat keadaan Naim yang langsung tidak memikirkan tentang soal pernikahan, Mak Yani mula risau. Dia tak sanggup mendengar buah mulut orang yang mengata anak bujangnya itu. Bujang terlajak! Arhh… tak mungkin. Tak ada lagi dalam keluarganya yang mendapat gelaran begitu.
Melihat Lily Amani yang sering ulang alik melalui depan rumahnya, membuat hati Mak Yani terdetik akan sesuatu. Tak salah rasanya kalau dia jodohkan Lily dengan Naim. Walaupun jarak usia mereka sepuluh tahun tapi mereka nampak secocok. Naim yang kacak dan tinggi lampai, Lily yang cantik dan bersopan santun. Memang nampak serasi bersama. Maka datanglah satu idea mahu menjodohkan Naim dengan Lily.
Tatkala mendengar permintaan Mak Yani, Naim terus menolak tanpa berfikir panjang. Lily Amani bukan citarasanya. Jauh sekali.
“Naim tak suka perempuan macam tu mak. Tak nampak perempuannya. Pakai baju besar. Ber ‘hodie’ sana-sini macam duduk negara sejuk. Nampak kasar. Macam mana mak boleh berkenan dengan perempuan macam tu.” Naim tolak bulat-bulat permintaan Mak Yani.
“Habis tu kamu nak yang macam mana Naim. Macam Kaisara bekas kekasih kamu tu ke. Tersembul atas bawah. Nak tayang dekat siapa?” bebel Mak Yani tak puas hati.
Namun, tatkala Naim mahu lari dari Lily, semakin Lily menghampiri. Pergolakan demi pergolakan terjadi. Adakah Naim berjaya menolak jodoh paksaan Mak Yani? Atau sememangnya jodoh Naim dan Lily sudah tertulis sejak azali?
Semuanya ada dalam Cinta? Mana Mungkin!


