Suara esak tangis seseorang sayup-sayup kedengaran. Dalam fikiran ni terus terkenangkan gurauan kasar along. Kisah seram yang menghantui di pulau ini. Memang hati ini pada mulanya menidakkan segala apa yang diceritakan along, namun hati ini dah mula berbolak balik. Semuanya punca dari tangisan yang sangat sayu. Perlahan dan mendayu-dayu. Kata along kalau suara itu kedengaran seakan jauh dari kita bermakna ia sebenarnya ada berdekatan. Bersebelahan mungkin.

Gulp. Telan air liur aku dibuatnya. Takkan resort bertaraf dunia ini berpenunggunya? Mustahil. Tak mungkin. Tapi suara itu masih lagi kedengaran, berterusan bagai tidak mahu berhenti pula. Dan…

“Arghhh!” Menjerit aku kerana terkejut. Mana tidaknya, tiba-tiba sahaja bahuku ditepuk seseorang, kini lenganku pula dicuit-cuit. Aku panik.

“Jangan makan saya, saya kecil lagi. Makan dia ni. Dia gendut!” aku berteriak sambil menuding jari ke susuk badan yang ‘chubby’.

Tak sangka dalam panik dan ketakutan tu aku masih sempat lagi mencari mangsa baru buat si hantu. Aku tergamam. Aku kerutkan dahiku dan mula tertanya-tanya. Dia? Siapa dia? Siapa pula budak ni? Dari mana datangnya dia?

Tak berkelip mata aku melihat dia. Seorang kanak-kanak perempuan, bertocang dua, berbadan gempal, namun tetap sahaja comel di mataku. Terutama sekali pipi gebunya itu. Geram!
“Hi baby… Are you alone?” Aku mulakan perbualan. Bukan main lagi aku speaking, maklumlah budak ni pun aku tak tahu anak siapa. Anak orang putih ke atau pelancong luar? Jadi nak tak nak kena la speaking. Risau kalau cakap dalam Bahasa Melayu dia tak faham.

Kanak-kanak itu melihat aku tidak berkelip. Dalam hatiku berkata ‘Abang tahu abang kacak. Tak payah tengok macam tu please… You are too small for me.’

Bagai mendengar pula kata hatiku, semakin sayu pula wajah si dia. Air mata yang seakan sudah berhenti tadi, sepertinya kembali mengalir semula. Sekelipan mata dia sudah terbongkok-bongkok di tepi bot. Terus dia memuntahkan segala isi perutnya.

Terbeliak mata aku melihat aksi kanak-kanak itu. Sambil muntah sambil juga dia menangis. Aku lihat sekeliling, kanak-kanak itu. Tiada orang lain. Dia bersendirian di situ. Kini hanya kami berdua sahaja di bahagian tepi dek bot ini.

Tanpa membuang masa, aku terus mencari Mek. Aku ceritakan segalanya. Mek pula hanya memberikan aku sebungkus tisu untuk diberikan kepada kanak-kanak itu.

Sepantas kilat juga aku kembali semula ke tempat tadi, nyata dia masih lagi disitu. Segera aku urut belakang tubuhnya. Mengapa aku aku bisa menjadi seromantis begitu. Semuanya bila aku meniru perilaku yang selalu dilakukan mommy dan abi.

Selesai dia memuntahkan isi perut, dia kembali berpaling ke depan. Duduk termenung. Aku pula dengan lagak gentleman terus sahaja mengelap mulut dia.

“Hiks… Hiks… Sakit.” bersuara. Aku pun terlupa yang Aku ni hanya bercuti di Pulau Perhentian, bukan di Hawaii. Sampai mula berbicara ala Barat konon!

“Sakit? Kenapa? Jatuh? Seorang je ke? Mama mana?” Aku bertaya serius. Hairan juga aku, bagaimana budak comel ni boleh terlepas keseorangan di sini.

“Huargh… Sakit… Wuu…” Makin kuat pula tangisannya. Dengan selambanya dia menyelak skirt dia dan menunjukkan luka di lututnya. Aku yakin kini, dia terjatuh.

Puas aku memujuk, namun dia tetap juga menangis. Pelbagai usaha aku lakukan. Akhirnya, berkat hasil pengalaman dan bakat semulajadi ku dalam pujuk memujuk, aku berjaya memudarkan tangisannya.

“Abang ni baik… Kita suka abang.” Tiba-tiba dia bersuara. Suaranya, comel sangat! Sejuk telingaku mendengar suara manjanya.

“Iya? Abang pun suka baby. Comel! Pipi ni, buat abang geram!” kataku sambil menggetap bibir.

“Baby seorang je? Dah jangan menangis. Hero dah sampai. Biar abang rawat baby, okay? Comel baby ni. Geram!” Aku seka air matanya dengan hujung bajuku. Itulah tindakan paling gentleman yang aku rasakan sesuai dengan usiaku sepuluh tahun ketika itu. Setelah tiada lagi titisan air mata yang mengalir, aku terus berlalu mendapatkan Mek.

Mek inilah merupakan ibu asuhanku sejak bayi lagi, tiada rahsia antara aku dengannya, lalu aku ceritakan semuanya. Maklumlah, pada usia sepuluh tahun, apa sahaja lah yang mampu aku buat. Kalau sekadar melekatkan hansaplast tu memang kepakaranku.

Selesai Mek rawat luka si comel itu, terus sahaja tubuh aku dia peluk. “Terima kasih abang! Sayang abang!” terhibur aku dengannya. Memang comel.

“Umur berapa? Dah sekolah? Nama apa?”

“Lima tahun. Nama kita kakak!” kanak-kanak itu berkata dengan semangatnya.

“Kakak? Itu panggilan bukan nama. Tak apa, abang panggil baby, sebab baby comel macam baby…” Sedang berborak aku perasan ada luka kecil di telapak tangan baby. Aku terus mengambil hansaplast dan lekatkan disitu. Dah memang kepakaranku. Hansaplast bergambar kartun teddy bear aku pilih, sesuai la dengan badan dia yang ‘cuddly’ sangat tu.

“Jom. Abang teman baby. Kita cari mama eh?”Aku berkata dengan nada memujuk. Dia menganggukkan kepalanya. Tubuh chubby baby itu aku dukung dan bawa turun ke pelabuhan berhampiran. Aku masih lagi terfikir bagaimana dia boleh sesat sampai ke sini.

“Hadiff Fayyadh, sekejap. Nak pergi mana pula ni? Nanti mommy cari, apa mek nak jawab?”

“Cakap Diff pergi kahwin!” Jawapanku berseloroh.

“Kahwin tu apa?” baby bertanya sambil mengedutkan dahinya.

Terkedu aku dengan soalan cepu emas darinya. Otakku mula ligat menjana jawapan.

“Kahwin? Tadi abang cakap nak kahwin dengan kakak. Kahwin tu apa?” sekali lagi soalan itu diajukan.

Soalan ini membuatkan aku semakin ligat berfikir menjana jawapan yang bernas. Jawapan yang tidak menimbulkan salah faham padanya dan memudahkanku menutup pertanyaan itu.

“Kahwin tu… Nanti, abang dengan baby boleh duduk sama-sama, duduk satu bilik, main sama-sama. Baby nak?” laju mek merumuskan jawapan sambil tersengih riang.

‘Apa sahaja la di ajar mek ni, rosak anak dara orang!’ hatiku berkata.

“Nak!” Jawapan balas penuh keyakinan baby itu sekali lagi buat aku terkesima.

Beberapa biji gula-gula skittles di dalam plastik aku serahkan kepadanya. Hanya yang berwarna merah sahaja aku berikan kepadanya.

“Merah tu warna cinta. Istimewa untuk baby abang… Nanti besar kita kahwin! Okay?” Laju pula mulutku menyusun ayat. Kononnya terkesima sangat tadi. Baby pun dalam masa yang sama mengangguk setuju.

Tanpa sedar, aku telah memeterai janji yang aku sendiri tak pasti mampukah aku kotakan suatu hari nanti. Sedang si baby, sudah tersenyum bahagia.

‘Ah, biarlah. Budak ni pun entah siapa-siapa. Kejap lagi aku hantar dia balik. Terpisahlah kami lepas ni.’

Tak cukup dengan mulut manis aku, mek pula selamba sahaja menyerahkan teddy si beruang busuk kesayangan ku itu kepada si baby. Memang sudah lama mek mendendami si teddy, pelbagai usaha dia lakukan agar aku dan teddy berpisah. Tak ‘macho’ katanya budak lelaki masih bekepit dengan bantal busuk. Dalam keadaan terpaksa aku relakan juga si teddy itu bertukar milik.

Reaksi Baby tu pula macam terlalu suka dengan teddy busuk aku tu. Di cium dan digentel sesuka hatinya.

Pemergian baby aku sertakan dengan air mata walaupun ku tahan agar tak meleleh keterlaluan. Sedih aku ini bukan kerana kan dia yang aku rindukan, tapi sebaliknya si teddy busuk aku. Namun selepas melihat betapa bahagianya baby bermain dengan si teddy busuk. Aku pasrahkan segalanya. Moga ada jodoh, kita jumpa lagi ya…