ku, Hadiff Fayyadh. Semenjak peristiwa menjadi hero si baby dua puluh tahun lepas, aku jadi tersangatlah gentleman. Pantang wanita dalam kesusahan, tanpa berlengah aku hulurkan tangan membantu. Terkadang si wanita belum pun sempat memohon bantuan, aku hulurkan terlebih dahulu. Biasalah, tipikal buaya.

Muka? Kacak, handsome dan bergaya. Kalau diletakkan aku seiring artis dan model antarabangsa, tiada bezanya kami. Sama. Malahan mungkin aku lebih menonjol lagi. Kalau setakat ‘oppa’ Korea kegilaan para wanita tu, aku senang-senang je boleh kalahkan. Lesung pipit aku sahaja sudah cukup menjadikan kegilaan para wanita di luar sana. Bergetar ovari katanya.

Kerjaya? Tak kurang hebatnya. Seorang arkitek berjaya merangkap seorang Quantity Surveyor. Ada masanya aku juga perlu melakukan kerja-kerja seorang Interior Designer. Senang cerita aku jalankan segala jenis tugas di syarikat milik abi ini. Bak kuli batak. Ingatkan kerja dengan abi boleh lah goyang kaki, masuk meeting, jumpa dengan para setiausaha yang cun melecun. Indah khabar dari rupa. Baru aku nak berangan ala-ala tuan muda hero drama melayu. Ada sahaja yang datang menggangu.

Harta? Berkepuk. Tak habis makan sampai ke anak cucu aku. Aku yakin! Kalau habis juga, jangan risau saham dan insurans aku berlambak, boleh cover punyalah.

Keluarga? Harmoni, tanpa cacat celanya. Mommy dan abi memang saling sayang menyayangi. Adik beradik yang akrab bagai isi dan kuku. Meskipun terkadang bercakaran tak ingat. Tapi biasalahkan, air dicincang tak akan putus. Esok lusa mesti berbaik dan bergaduh semula. Itu normal pada aku.

Yang tak normalnya adalah soal jodoh. Badi apa yang mengganggu aku ni. Sampai sekarang dah masuk 30-an pun masih lagi single and always available. Selagi tidak mendapat wanita yang betul-betul menepati ciri-ciri idaman, aku lebih rela membujang sahaja. Demi kesempurnaan yang aku kejar, secara tak langsung aku telah menjadi buaya. Tidak malu untuk aku mengaku aku tergolong dalam spesies buaya, kerana hakikatnya buaya adalah haiwan yang paling setia di dunia. Seekor buaya pada dasarnya hanya akan mengawan dengan pasangan yang sama sahaja setiap kali musim mengawan. Hebat tak hebat buaya? Mana aku tak bangga mengaku aku ni buaya.

Tapi, itu lah, sebuaya aku pun masih lagi dikategorikan bujang telajak. Apa masalah utama aku dalam bercinta? Sering tersalah jodoh. Selalu sangat terkena dengan cinta palsu dan dusta. Atau bahasa mudah fahamnya jodoh salah alamat. Entah jodoh siapa-siapa je yang sampai dekat aku. Aku pula senang sangat terima. Janji muka cantik, bentuk tubuh menarik aku layankan sahaja.

Mungkin sudah sampai masanya aku cari seorang calon yang betul-betul material wife. Isteri solehah kata orang, penyejuk di mata, pendamai di hati. Kalau boleh, aku nak isteri sebiji macam mommy. Bagi aku mommy tu wanita yang paling sempurna.

Apakah masih wujud lagi ke wanita yang bijak, ayu dan memenuhi citarasa aku tu?

“Cari bini ni, yang penting hati dia. Mesti cari yang ikhlas sayang kita tanpa sebarang syarat.” Itu nasihat Atok aku. Tapi, mana maunya aku nak ikut. ‘Kalau hati baik, tapi muka tak siap macam mana pula aku nak bagi cicit dekat atok tu. Tak selera kot!’

Kalau ikut cakap along aku pula. “Cari bini biar yang pandai masak. Perut terjaga hati pun senang. Buat apa pun senang hati!” Itu kata along aku la. Tapi aku bukannya pelahap macam dia. Kalau nak makan pun aku cari restoran yang cantik. Yang penting menarik. Biarlah makanan dia tak sedap mana pun tapi kalau dah suasana dia cantik, terubat juga sedikit sebanyak rasa ‘kureng’ makanan tu. Kan?

Dan seluruh keluarga aku setuju yang cara aku mencari jodoh macam cari kereta. Asal cantik on. Asal orang kata best aku on juga. Dia orang kata aku ni buta cinta. Kalau orang selalunya cinta buta tapi aku pula buta cinta! Aku perlu buktikan, bahawasanya aku, Hadiff Fayyadh bukan lah seoarang yang buta cinta. Aku pasti akan berjaya menemui cinta sejati yang akan berkekalan sehingga ke Jannah atau ke jinjang pelamin sekurang-kurangnya. Dan ini kisah aku dalam pencarian cinta sempurna.