Tepat pukul 6 petang aku sudah sampai di rumah teres dua tingkat yang aku sewa sejak setahun lalu. Aku memakirkan kereta di tempat letak kereta. Aku melangkah masuk ke dalam rumah sambil menjinjit bungkusan yang aku terima pagi tadi. Entah kenapa aku sangat menghargai pemberian dari individu misteri ini.

Badan yang terlalu letih membuat aku memilih untuk duduk di sofa di kawasan ruang tamu rumah. Aku sandarkan badan ke sofa empuk dengan material kulit. Bungkusan dan juga beg tangan aku letakkan di sisi. Aku cuba lelapkan mata seketika. Bukan tidur namun cuba melepaskan kepenatan sepanjang hari. Rumah ini senyap sahaja. Entah ke mana agaknya dua orang anakku. Entah apa yang mereka sedang lakukan.

“Mummy dah balik. Nak air?” tegur anak ku Maira Qhalisha. Aku buka sedikit mata memandang ke arahnya yang berdiri di anak tangga terakhir lalu aku mengangguk. Maira berlalu ke arah dapur.

“Mummy, ini air.” kata Maira. Dia duduk bersebelahan dengan ku.

Thanks sayang.” aku usap kepala anak ku.

You are welcome mummy. Mummy sibuk sangat ke? Nampak letih sangat.” soal Maira.

“Penat. Banyak kerja. Nak kejar dateline.” Maira mengangguk-angguk.

“…Mana adik sayang.” soal aku lagi bila masih tak nampak di mata.

“Ada dekat atas mummy. Mengadap phone dari tadi.”

“Macam mana sekolah hari ni. Is everything okay?” soal ku.

Inilah masa yang aku ada untuk berbual dengan anak-anak. Memberi perhatian pada mereka. Sejak aku aktif menjadi usahawan banyak masa dihabiskan untuk aktiviti pemasaran.

“Semua okay je. Macam biasa je mummy. Mummy minggu depan cuti sekolah.” Maira anak sulung aku yang berumur 11 tahun. Dia seorang yang matang. Mungkin apa yang kami lalui sekian lama membuat dia jadi lebih matang dalam melalui kehidupannya. Berbeza dengan adiknya Maira Sophia yang sedikit manja dan sering memberontak.

Aku tersenyum memandang Maira. Aku tahu dia inginkan percutian keluarga. Mahu menghabiskan masa dengan aku dan adiknya.

“Mummy cuba adjust jadual mummy ye. InsyaAllah ada rezeki kita pergi holiday.” kata ku.

Aku renung ke dalam mata anak sulung ku ini. Pandangannya nampak redup. Seperti ada sesuatu yang tersimpan dalam lubuk hatinya.

“Daddy nak ambil kitaorang bawa bercuti.” Sebaris ayat keluar dari mulut Maira. Dia menunduk. Riak wajahnya kelihatan sayu.

“Bila daddy bagitahu?”

“Tadi. daddy jemput masa balik sekolah. Daddy plan nak bawa kami ke Sabah.” jawab Maira lagi.

“Ermmm… Maira dah Sophia macam mana? Nak ikut daddy?” soalku.

“Kami ada pilihan lain ke mummy?” soalan Maira seperti merobek hatiku.

“Cakap la dengan daddy cuti kali ni nak jalan-jalan dengan mummy.” aku usap belakang badan Maira. Cuba menyelami rasa sedih anak ku ini.

“Jangan nak memandai ye, kalau kakak tak nak jangan libatkan adik. Adik nak bercuti dengan daddy.” Kedengaran suara Sophia yang berkata-kata sambil kakinya melangkah menuruni anak tangga tanpa sedikit pun memandang ke arah kami di ruang tamu.

Dia halakan langkah kakinya ke ruang dapur. Aku hanya mampu memandang dia berlalu pergi.

Aku yakin pasti ada sahaja hasutan dari daddynya tadi yang membuatkan dia bersikap begini. Setiap kali selepas bertemu daddynya pasti Sophia mula menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Dia seolah memberontak.

Aku melepaskan keluhan berat. Maira duduk menyandar di sofa sambil menggenggam erat tanganku.

“Mummy kena banyak sabar dengan Sophia mummy.” kata Maira perlahan seolah berbisik. Tidak mahu Sophia mendengar.

“Mummy faham sayang. Mesti daddy ada cakap sesuatu pada dia kan?” Maira mengangguk.

“Mummy memang tak nak bersama dengan daddy semula ke?” soal Maira lagi.

“Tak mungkin sayang. Sekian lama mummy berjuang untuk lepaskan diri dari kesakitan tu. Takkan mummy nak menyerah diri lagi.”

“Kalau daddy ikhlas berubah demi kita semua pun mummy tak nak ke?” Maira memandang wajahku dengan riak sayu. Aku menggeleng.

“Hati mummy dah tertutup untuk sebuah ikatan rumahtangga. Mungkin akan datang tapi buat masa ini mummy tak ada niat untuk ada komitmen dalam rumahtangga.”

“Kalau tak ada niat kenapa mummy layan Uncle Haikarl?” tiba-tiba Sophia datang sambil berbicara begitu dengan riak wajah tegang.

“Adik, jaga mulut awak.” Maira menegur adiknya. Sophia menjeling si kakak.

“Betul la apa adik kata. Mummy cakap tak sedia nak kahwin tapi berkepit dengan uncle Haikarl. Bukan adik tak tau uncle Haikarl tu memang sukakan mummy kan. Adik bukannya bodoh tak boleh menilai.” Sophia meluahkan perasaan marahnya. Suaranya agak meninggi dengan riak wajah tidak puas hati.

“Adik! Jangan biadap dengan mummy.” Maira bangun lalu menengking adiknya.

“Memang dalam rumah ni adik semua tak betul. Mummy dengan kakak paling mulia. Bagi adik duduk dengan daddy. Habis cerita!” Sophia membalas tengkingan kakaknya dengan tengkingan juga. Masing-masing sudah tidak dapat mengawal emosi. Melepaskan kemarahan masing-masing.

“Dah la… apa nak jadi dengan kamu berdua ni. Mummy penat sayang. Kenapa buat mummy macam ni.” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata lagi. Aku bangun dari duduk ku. Aku melangkah naik ke bilik tidurku. Tidak ada maknanya untuk aku terus melihat pergaduhan dua orang anak yang aku sayang hanya kerana masing-masing menegakkan kebenaran sendiri.

Aku rasa kecewa. Aku rasa lemah. Tak sangka semua ini yang perlu aku lalui hasil dari perpisahan dengan Ikhmal. Sudah setahun berlalu namun masih penuh dengan ujian dan dugaan.

Aku masuk ke dalam bilik. Aku sandarkan badan pada kepala katil. Jemariku memicit-micit kepala yang mula terasa pening. Sejak berpisah memang kerap Ikhmal datang bertemu aku. Entah kenapa dia beria mahu kami bersatu kembali.

Aku dari awal sudah menolak. Bukan kerana aku terlalu sombong dan angkuh dengan kehidupanku sekarang ini. Tetapi aku sudah tidak punya hati dan perasaan untuk bersuami lagi. Semuanya aku anggap seperti beban yang berat memenuhi pundakku.

Teringat kembali sebulan selepas perpisahan kami. Ketika itu aku masih terkial-kial mencari arah apa yang harus aku lakukan untuk meneruskan kesinambungan kehidupan aku tiga beranak.

Ikhmal datang bertemu aku di rumah sewa kami. Dia meminta aku dan dia rujuk kembali.

“Nisa, jom kita rujuk balik.” kata Ikhmal di hadapan pintu pagar rumah sewa aku.

“Tak apa la abang. Ni keputusan Nisa. Nisa rasa cukuplah 12 tahun Nisa jadi isteri abang.”

“Nisa… Abang janji abang akan berubah. Sekarang pun abang dalam proses pergi rawatan. Abang perlukan sokongan Nisa dan anak-anak.” Katanya lagi dengan bersungguh-sungguh.

Walaupun kata-kata yang keluar nampak tegas. Tapi memang dari dulu itulah gaya Ikhmal berkata-kata ketika dia normal dan tidak dihantui perasaan marah. Aku sudah biasa dengan keadaan itu.

“Saya dan anak-anak akan sokong apa je perkara baik yang abang buat. Kalau kita tak bersama semula pun saya boleh doakan abang.” Jawabku.

Aku nampak dia menarik nafas dalam. Mungkin cuba menahan kemarahan. Aku faham benar perangai Ikhmal. Dia tidak boleh langsung dibantah. Aku hanya perlu menurut apa yang dikehendaki.

“Nisa tak kesian anak-anak kita ke?”

“Kita sama-sama dah buat keputusan abang, kenapa nak ungkit lagi keputusan kita.”  Jawabku lembut.

“Tak mustahil keputusan kita tu salah Nisa. Bagi abang peluang sekali lagi please! Abang janji abang tak kan ulang lagi perangai abang tu.” Ikhmal mula bertindak sedikit agresif. Dia capai pergelangan tanganku. Dia cengkam kuat. Aku mula panik. Aku mengigil ketakutan.

“Aa… aa… abang… jangan buat macam ni abang. Sakit abang.” Aku merengis kesakitan.

Kenangan lama setiap perbuatan Ikhmal pada aku kembali muncul di minda. Aku takut. Peluh mula membasahi dahi.

Ikhmal terkejut. Seolah baru tersedar akan keterlanjuran tindakannya. Cepat dia melepaskan cengkaman tangannya pada pergelangan tanganku. Dia mula tidak tentu arah. Aku lihat dia meramas ramas rambutnya kuat. Nampak kesal dengan tindakannya tadi.

“Abang minta maaf Nisa. Abang tak sengaja. Maafkan abang. Abang hanya mahukan Nisa kembali pada abang.” Ikhmal kembali merayu.

Walaupun kedudukan kami agak sedikit jauh kerana aku mahu melangkah masuk. Aku takut! Setiap perbuatan Ikhmal pada aku dulu kembali bermain-main di minda. Aku mahu menenangkan diri.

“Nisa masuk dulu.” Aku pusingkan badan membelakangi nya lalu melangkah masuk.

“Nisa… Nisa… Nisa…” Ikhmal memanggil aku kuat.

Aku tidak pedulikan nya lagi. Aku mahu mencari ketenangan saat ini. Rasa takut itu buat dadaku sesak. Nafasku laju. Badanku menggigil. Peluh mula keluar dengan banyaknya.

Aku melangkah naik ke bilik ku di tingkat atas. Aku kurungkan diri ku di sana. Airmata mula mengalir perlahan. Aku menangis teresak sambil memeluk lutut.

Begitulah situasi yang berlaku sepanjang tempoh iddahku. Ikhmal akan datang memujuk rayu untuk kami bersama kembali. Tidak cukup dengan pujuk rayu dari Ikhmal dia meminta anak-anak juga cuba memujuk ku.

Maira tidak pernah memaksa aku. Dia sedar yang aku sangat terseksa dengan segala perbuatan daddynya sebelum ini. Berbeza dengan Sophia. Dia sangat mahukan aku dan Ikhmal kembali bersatu. 

“Tak boleh ke mummy berkorban untuk satukan keluarga kita? Daddy dah menyesal mummy. Daddy perlukan kita untuk sokong daddy.” kata Sophia pada suatu petang ketika kami sedang menonton televisyen.

“Dah terlalu lama mummy bagi peluang adik. Mummy tak mampu lagi.” jawabku lembut. Aku lihat wajah Sophia begitu keruh. Nampak marah dengan jawapan aku.

“Patutnya kita ada di sisi daddy masa dia nak berubah.” jawab Sophia yang berusia 9 tahun itu. Entah dari mana dia mendapat ayat sebegitu. Aku cukup yakin Ikhmal yang mengajar pada dia semua ini. Kerana dia rapat dan manja dengan daddynya.

“Adik, biar mummy buat keputusan untuk hidup mummy. Jangan masuk campur. Kita tak ada hak.” kata Maira kedengaran tegas. Dari tadi dia hanya mendiamkan diri.

“Kakak memang suka keluarga kita tak lengkap macam ni ke? tak macam orang lain.” Sophia mula naik angin. Dia bangun lalu meninggalkan kami di ruang tamu ini. Berjalan demgan kaki menghentak kuat. Terdengar bunyi pintu biliknya dihempas kuat.

Aku dan Maira saling berpandangan. Masing-masing hilang kata-kata. Tak pasti bagaimana mahu menjelaskan pada anak seusia itu tentang apa yang aku alami. Aku menunduk. Aku harap suatu hari nanti Sophia akan faham. Itu sahajalah yang aku harapkan. Hanya doa yang mampu aku panjatkan supaya ketenangan sentiasa menjadi milik aku dan aku boleh meneruskan kehidupan di dunia ini sebaiknya.