Majlis pernikahan mereka diadakan di pejabat agama islam daerah. Selesai majlis akad nikah mereka terus pulang ke rumah. Hanya ada sedikit jamuan makan untuk sahabat terdekat Haris. Tiada tetamu lain yang dijemput.
Selesai semuanya Zahirah naik ke tingkat atas. Dia masuk ke dalam bilik Awliya. Kelihatan Awliya sudah mula bergerak-gerak. Pastinya sudah cukup masa untuk Awliya menyusu.
Zahirah yang berbaju kurung moden berwarna pearl white dengan kemasan sedikit lace dan manik ringkas sangat menawan dalam busana pernikahannya. Dia kelihatan sangat cantik hari ini. Terserlah kematangan di wajahnya.
Zahirah capai botol susu lalu mula membancuh susu untuk Awliya.
“Awliya dah bangun… Sayang lapar ke?” kata Zahirah pada Awliya yang sudah mula cembeng di dalam baby cot itu.
“Sekejap ye… kakak buat susu.” sambungnya lagi. Dia membancuh susu membelakangi Awliya.
“Bukan kakak la… Mummy.” terdengar suara garau yang sangat dia kenali.
Berdetak laju jantung Zahirah. Wajahnya merona kemerahan. Nak pusing ke belakang pun dia dah rasa segan.
“…dah siap ke susu Awliya mummy.” tanya Haris bila lihat Zahirah membeku dari tadi.
Dia mengangkat Awliya dari baby cot itu lalu di bawa menuju ke katil single yang ada di dalam bilik itu. Haris duduk di situ sambil memangku Awliya.
“Aa… aa… da… dah…” Zahirah tergagap. Dia melangkah ke katil lalu menghulurkan botol susu yang siap dibancuh kepada Haris lalu dia hayunkan langkah mahu keluar dari bilik itu seperti yang selalu dia lakukan.
“Mummy nak pergi mana? Tak nak teman Awliya menyusu ke?” soal Haris sambil menyusukan Awliya.
Segaja dia mahu mengusik Zahirah. Zahirah berhenti melangkah. Rasa serba tak kena dengan perubahan sikap Haris.
“Sa… sa… saya pergi solat dulu Pak cik.” kata Zahirah tergagap tanpa menoleh ke arah suami yang baru dinikahinya tadi.
“Ermm… Nanti lepas solat awak pindahkan baju awak dekat bilik saya.” Sempat Haris beri arahan. Kali ini dengan suara mendatar.
Zahirah mengangguk lalu menonong keluar dari bilik itu. Cemas dengan sikap Haris yang tiba-tiba berubah. Sekejap mesra sekejap berubah serius. Sukar untuk difahami. Jantung seperti mahu terkeluar. Kuat degupannya sehingga boleh didengari.
Selesai solat Zahirah duduk di birai katil. Seperti tak percaya yang dia kini sudah menjadi isteri orang. Isteri Haris anak jirannya yang selalu melayan dia bermain sewaktu dia kecil dahulu.
Lebih sukar untuk dipercayai bila dia juga sudah menjadi seorang ibu hari ini. Ibu kepada anak tirinya Awliya. Si kecil yang berusia 4 bulan. sudah dua bulan dijaga oleh Zahirah sebaiknya seperti darah daging sendiri.
‘Mummy…’ terdetik perkataan itu yang disebut oleh Haris tadi. Zahirah tersenyum sendiri.
“Berangan apa lagi tu Irah?” tegur Mak Long yang baru sahaja masuk ke dalam bilik. Zahirah mengusap wajahnya. Rasa berbahang menyerbu wajahnya.
“Mana ada berangan Mak Long. Irah baru lepas solat ni.” jawab Zahirah cuba sembunyikan rasa malu. Mak long duduk bersebelahan dengan Zahirah.
“Bukan Mak long tapi mak….” Mak long tersenyum. Dia capai jemari runcing Zahirah lalu dia mengusap lembut.
“Terima kasih Irah sudi terima Haris dan Awliya. Mak tahu bukan senang nak galas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di usia semuda ini. Tapi mak yakin Irah mampu.” kata Mak Long lagi.
“Terima kasih mak sudi terima Irah yang tak ada apa-apa ni dalam keluarga mak. Irah terhutang budi.” jawab Zahirah lalu memeluk Mak Long Esah erat.
Mengalir airmatanya. Seperti ada cahaya dalam hidupnya kembali setelah cahaya terang dibawa pergi oleh ibu sehingga hidupnya menjadi kelam.
“Mak tak pernah anggap Irah tak ada apa-apa. Pada mak Irah sangat berharga dalam keluarga kami. Mak harap Irah dapat jadi isteri yang baik untuk Haris dan ibu yang baik untuk Awliya. ” Mak Long Esah usap lembut belakang badan Zahirah yang baru sahaja menjadi menantunya itu. Zahirah hanya mengangguk.
“InsyaAllah mak. Irah cuba sebaik mungkin.” jawab Zahirah perlahan.
“Wah… kenapa dekat sini ada drama airmata ye Awliya?” muncul Haris yang sedang mendukung Awliya.
Wajah Awliya dah kembali ceria. Selepas cukup tidur dan kenyang menyusu. Mak long Esah dan Zahirah melepaskan pelukan. Keduanya memandang Haris dan Awliya yang baru masuk ke dalam bilik itu. Zahirah menunduk bila bertentangan mata dengan suaminya.
“Kacau je orang nak berdrama. Nak apa?” tanya Mak Long selamba pada Haris.
“Nak cari mummy Awliya ni. Daddy nak solat pulak.” jawab Haris.
Merona wajah Zahirah. Cepat dia bangun lalu mengambil Awliya dari dukungan Haris. Mak Long Esah dah tersengih-sengih.
Zahirah bawa Awliya duduk di atas katil. Dia mengagah Awliya sehingga Awliya terkekeh ketawa. Awliya mudah terhibur bila bersama Zahirah.
Haris memusingkan badan mahu masuk ke dalam biliknya. Dah lewat mahu solat zuhur. Leka melayan sahabatnya tadi. Dia memusingkan badannya kembali bila teringat sesuatu.
“Awliya dengan mummy jangan salah masuk bilik pulak ye. Daddy tunggu dekat sana.” kata Haris. Tika itu juga muka Zahirah terasa berbahang. Tak sangka sikap Pak cik Haris serta merta berubah. Selalu mengusiknya.
‘ish… Kenapa la pak cik ni suka sangat mengusik.’ bisik Zahirah dalam hati.
Bagi Haris pula dia suka melihat riak wajah Zahirah kemerahan bila diusik olehnya. Melihat respon malu-malu Zahirah lagi Haris suka mengusik. Haris melangkah masuk ke biliknya sambil tersenyum-senyum.
“Mak harap kamu bertiga bahagia sampai bila-bila ye.” kata Mak Long sambil matanya melihat ke arah Zahirah yang leka bermain dengan Awliya.
“Terima kasih mak. Terus doakan kami. Doa mak yang kami perlukan.” jawab Zahirah.
“Irah bawa Awliya masuk bilik kamu. Mak nak berehat sekejap.” kata Mak Long Esah.
“Alaa… Irah nak duduk sini. Pak cik tu suka sangat mengusik.” kata Zahirah dengan nada manja.
“Dah jadi suami pun panggil pak cik lagi ke?” tanya Mak Long. Berkerut dahi Mak long Esah. Zahirah garu kening. Rasa malu sendiri.
“Eerrmm… nanti tukar la mak.” jawab Zahirah. Dia sendiri pun tak tau nak panggil apa. Blurr…
Leka bermain dengan Awliya sambil berbual dengan mak tak sedar Zahirah terlelap. Badannya sedikit letih bila memikirkan urusan nikahnya. Penat otak berfikir dan beberapa hari tidak cukup tidur buat dia rasa kurang bertenaga.
“Irah… Irah… bangun. Nak masuk asar dah ni. ” Mak long Esah mengejutkan menantunya.
Perlahan Zahirah buka mata. Dia meregangkan tubuhnya. Rasa sedikit lega bila dapat berehat.
“Mana Awliya mak?” tanya Zahirah. Dia duduk di birai katil.
“Tadi Haris dah ambil. Kesian tengok kamu penat katanya.” Zahirah malu sendiri. Dia capai tuala lalu masuk ke bilik air. Selesai mandi dan berpakaian Zahirah keluar dari bilik air sambil mengeringkan rambutnya menggunakan tuala.
“Tadi Haris pesan minta Irah pindahkan barang -barang kamu ke bilik dia. Kata Mak Long Esah. Zahirah dah garu kepala. Sudah kali keberapa Pak cik Haris sebut tentang pindahkan barang.
Zahirah melangkah keluar dari bilik. Memandangkan hari sudah petang dia mahu memandikan Awliya. Dia masuk ke dalam bilik Awliya tapi mereka tiada di situ. Zahirah garu kepala.
‘Tak kan nak masuk bilik Pak cik pulak. Alaaa… malu la.’ Zahirah mundar mandir di dalam bilik Awliya. Berkira-kira mahu pergi atau tidak.
Akhirnya Zahirah melangkah juga ke depan pintu bilik Haris. Dia teragak-agak mahu mengetuk pintu bilik itu. Rasa canggung. Pintu bilik diketuk.
“Masuk….” terdengar suara Haris. Zahirah membuka pintu bilik. Kelihatan Haris sedang bermain dengan Awliya di atas katil.
“Pak cik, saya nak mandikan Awliya.” kata Zahirah yang masih berdiri di muka pintu.
“Masuklah dulu…” jawab Haris.
Teragak-agak Zahirah masuk ke dalam bilik Haris dengan rasa malu yang menebal. Bilik utama itu saiznya agak luas. Dilengkapi dengan set sofa dan televisyen. Juga katil bersaiz king yang cukup besar. Reka bentuk dalaman yang sangat eksklusif dan kemas. Zahirah melangkah ke arah katil tempat Awliya dan Haris. Jantung berdegup kencang. Rasa janggal. Rasa segan.
“Duduklah dulu Zahirah.” kata Haris lembut sambil menepuk tilam di hadapannya. Zahirah duduk sedikit jauh dari Haris. Dia hanya menunduk.
“First of all saya nak ucap terima kasih banyak-banyak sangat sebab Zahirah sudi menjadi isteri saya dan mummy pada Awliya.” Haris tarik nafas dalam.
“… Saya tahu susah untuk kita sama-sama biasakan diri dalam situasi ni. Semuanya berlaku begitu cepat. Tapi kita kena tahu yang semua ni sudah tertulis.” sambung Haris lagi. Zahirah masih menunduk.
“Saya faham kalau awak perlukan masa untuk biasakan diri dengan semua yang berlaku. Saya akan beri awak masa.”
“Tapi walaubagaimanapun awak perlu pandai jaga diri awak sebagai isteri saya. Perlu jaga maruah saya sebagai suami. Menjalankan tanggungjawab sebagai isteri saya dan mummy Awliya. Ermm… Perlahan-lahan awak kena biasakan. Walaupun kita kahwin bukan sebab cinta tetapi ini bukan seperti perkahwinan kontrak yang ditetapkan syarat. Saya akan beri masa untuk awak selesakan diri. Ambil lah seberapa banyak masa pun. Saya akan tunggu.” panjang kata-kata Haris.
Dia tahu Zahirah belum bersedia sepenuhnya. Dia juga tak kan memaksa. Apatah lagi menuntut haknya sebagai suami. Walaupun pernikahan mereka tanpa cinta tapi pada Haris dia tidak akan permainkan ikatan ini.
Zahirah hanya menunduk dari tadi. Langsung tidak memberi respon. Tidak tahu respon yang bagaimana harus diberi.
“Zahirah awak okay tak ni?” tanya Haris bila melihat Zahirah langsung tiada respon.
“Ba… baik pak cik… Saya cuba buat yang terbaik. Terima kasih pak cik sudi selamatkan hidup saya.” jawab Zahirah. Itu sahaja yang terlintas dalam mindanya tika ini.
Haris merenung ke arah Zahirah. Mula lah datang perangai suka mengusiknya kembali. Dia angkat dagu Zahirah hingga mereka bertentang mata.
“Ermmm…tak kan nak panggil pak cik kot.” Kata Haris sebaik mereka bertatapan. Jantung Zahirah mula tidak seirama.
“Ermmm… Pak cik nak saya panggil apa?” tanya Zahirah polos.
Zahirah serba salah. Dia sendiri tidak tahu apa panggilan yang sesuai. Jujurnya dia malu. Haris tersengih-sengih. Mula la dia mahu mengusik Zahirah. Suka melihat wajah malu-malu Zahirah.
“Ermm… panggil sayang.” jawab Haris pendek. Dia bangun lalu mencapai tuala di dalam almari.
“Err…. aarr… Saya tak biasa…” jawab Zahirah tergagap-gagap. Berdebar rasa di dada bila Haris minta dia memanggil sayang. Lidahnya kelu!
Haris melangkah mendekati Awliya yang masih berusaha untuk belajar meniarap di atas katil. Dia cium dahi Awliya.
“Habis tu nak panggil apa?” segaja dia bertanya lagi sambil melirik pada Zahirah yang masih duduk di atas katil.
“Err…aarr…ermm… Nanti saya fikir ye.” jawab Zahirah.
“Okay, Make sure panggilan yang manis okay. Tapi yang pasti tak nak pak cik.” jawab Haris tegas.
“Baiklah.” Zahirah mengangguk. Akur dengan permintaan suaminya. Haris tersenyum lebar melihat reaksi Zahirah.
“Tadi kata nak mandikan Awliya kan? ke nak mandikan daddy Awliya.” Bisik Haris di telinga Zahirah. Dia merenung wajah isterinya sambil tersengih-sengih. Zahirah dari tadi masih menunduk. Pemalu sangat!
“Aaa…aaa… saya mandikan Awliya. Saya ambil Awliya dulu ye.” cepat-cepat Zahirah bangun lalu mengambil Awliya yang leka bermain di atas katil lalu menonong membawa Awliya keluar dari bilik itu. Lain macam debarannya bila encik suami mula bergurau macam tu. Rasa jantungnya nak terkeluar. Bagaimana dia nak teruskan hidup dengan usikan Haris setiap hari. Mahu sakit jantung dibuatnya nanti.
“Mummy… Nanti solat maghrib sama-sama tau. Daddy tunggu dekat sini. Haris berkata dengan nada sedikit kuat bila Zahirah sudah mahu menutup pintu bilik. Zahirah terus menonong keluar dari bilik itu tanpa membalas kata-katanya.
Haris tersenyum sendiri. Terhibur hatinya melihat Zahirah yang malu-malu begitu. Jauh di sudut hatinya ada juga rasa risau yang mencengkam. Risau Zahirah sudah ada kekasih hati tetapi dia terpaksa menerima perhubungan ini atas desakan hidupnya.
Selepas berfikir panjang, Haris membuat keputusan untuk memberi masa pada Zahirah. Sementara itu boleh lah juga dia menyiasat sedikit sebanyak tentang Zahirah nanti. Tak kenal maka tak cinta.
Haris tersenyum sendiri. Tak sangka tak sampai 6 bulan menduda dia sudah kembali memegang status suami orang. Pasti ada hikmah sebalik semua ini. Dia akan sentiasa bersangka baik dengan setiap aturan hidupnya yang telah ditentukan.