Zahirah sudah bersiap-siap dari tadi. Awliya juga sudah dia siapkan. Dia menyangka mereka akan keluar sekeluarga untuk membeli keperluan Awliya. Setelah bersiap dia masuk ke bilik Awliya. Dia lihat Mak Long sedang leka bermain dengan cucu.
“Mak Long tak siap lagi ke?” tanya Zahirah pelik. Dia lihat Mak Long masih duduk santai di dalam bilik Awliya.
“Bersiap nak ke mana pulak?” jawab Mak Long.
“Bukan Pak cik Haris kata dia nak bawa pergi beli barang keperluan Awliya?” berkerut dahi Zahirah. Mak Long hanya tersenyum.
“Kamu pergi berdua dengan Haris je lah. Tak kan kita nak bawa Awliya. Tak sesuai bawa baby macam ni keluar time keadaan banyak penyakit macam ni. Biar Mak Long jaga Awliya. Lagipun mak long tak larat la Irah. Kaki sakit sangat pulak.” jawab Mak Long. Zahirah garu-garu kepalanya. Rasa segan pula mahu keluar berdua dengan Pak cik Haris.
“Kalau macam tu biar Pak cik je lah yang pergi beli. Irah malu la mak long.” kata Zahirah. Dia duduk bersila di atas lantai lalu kaki mak long yang sedang berlunjur dicapai dan dia mula mengurut lembut.
“Eh, Irah tak payah la urut mak long. Irah pergi keluar dengan Haris. Kalau harapkan si Haris tu nanti lain barang yang dibelinya. Pergi tunggu dekat bawah. Kejap lagi dia sampai la tu.” bebel Mak Long Esah.
“Tak apa lah mak long. Irah malu la.” dalam masa yang sama terdengar bunyi hon kereta dibunyikan di tingkat bawah.
“Irah pergi cepat. Haris dah sampai.” Zahirah teragak-agak sama ada hendak pergi atau terus duduk di situ.
“…cepat pergi.” Mak long mengesa lagi. Nak tak nak Zahirah paksa bangun lalu melangkah ke arah Awliya. Selepas mencium Awliya dia bersalaman dengan Mak Long lalu dengan wajah cemberut dia turun ke tingkat bawah.
Keluar sahaja dari pintu sudah kelihatan Pak cik Haris yang menunggu di dalam kereta. Jantung Zahirah berdegup laju. Rasa terlalu gugup. Melihat wajah kacak Pak cik Haris yang bergaya dengan cermin mata hitamnya buat Zahirah serba tak kena.
Dia gagahkan kaki ke arah tempat duduk penumpang di bahagian depan. Dia buka pintu kereta lalu menghempaskan punggungnya.
“Pak cik, mak long tak nak ikut. Dia sakit kaki. Awliya pun Mak Long tak bagi saya bawa.” kata Zahirah.
Harapnya Pak cik Haris akan membatalkan hasratnya untuk keluar hari ini. Senang hati Zahirah kalau dia tak perlu keluar bersama Pak cik Haris. Dia segan!
“It’s okay. Kita pergi berdua je. Masuk lah.” jawab Haris. Zahirah dah mula garu-garu kepala yang dilitupi tudung. Dalam masa yang sama dia masuk juga ke dalam kereta.
Sepanjang perjalanan dia hanya menunduk. Sesekali dia membelek telefonnya. Zahirah buka akaun tik tok nya. Daripada dia diam begini baiklah dia muat naik content di akaun tik tok nya. Tak ada lah terasa seperti membuang masa. Laju jemari Zahirah membuat editing video. Tak sampai beberapa minit dia sudah berjaya memuat naik videonya.
“Apa yang awak duk sibukkan tu?” tanya Haris.
“Upload video kat tiktok pak cik.” Haris mengeleng.
“Budak-budak muda sekarang ni banyak habiskan masa di media sosial kan. Tak kira tempat tak kira waktu.” Bebel Haris.
Haris memang kurang aktif di media sosial. Kehidupan sehariannya sudah cukup sibuk apatah lagi selepas kelahiran Awliya.
“Sebab semuanya online pak cik. Memang tak kira tempat dan waktu la.” jawab Zahirah. Haris mengerling ke arah Zahirah.
‘berani juga budak ni menjawab.’ detik hatinya.
“Masalahnya sampai hilang rasa malu. Semua nak dijadikan content.” Haris masih tak puas hati. Mahu mendengar lagi hujah dari bakal isterinya ini.
“Banyak juga kebaikannya pak cik. Bukan semua buruk. Terpulang pada individu tu sendiri. Bukan salah teknologi.” jawab Zahirah begitu yakin.
“Apa kebaikkannya? Cuba bagi saya contoh.”
“Contohnya kalau kita guna platform media sosial sebagai sumber pendapatan. Platform media sosial banyak digunakan untuk online bisnes.” Haris mengangguk.
“Awak guna untuk tujuan apa?” Makin teruja Haris berbual dengan Zahirah. Tak sangka Zahirah petah berbicara. Selama lebih sebulan ni Zahirah memang jarang berbual dengan nya.
“Saya baru belajar berniaga. Nak cari duit belanja sikit. Sementara nak nak cukup modal.” jawab Zahirah yakin.
“Awak jual apa? tak nampak pergi pos barang pun.” soal Haris pelik.
“Saya jadi dropship je pak cik. Saya promote untuk buat sale. Barang Hq yang pos. Saya dapat komisyen je lah.” Zahirah beri penjelasan. Haris mengangguk-angguk.
Sampai di sebuah cafe Haris mencari tempat letak kereta yang masih kosong. Selesai memakirkan kereta dia memadamkan enjin. Zahirah melihat ke persekitaran. Tak nampak macam ada kedai menjual keperluan bayi. Dia terpinga-pinga.
“Jom kita pergi minum dulu. Ada banyak lagi soalan saya nak tanya.” kata Haris selamba lalu keluar dari kereta.
Zahirah yang terpinga-pinga cepat-cepat keluar dari kereta. Macam-macam bermain di mindanya.
‘dah kenapa pak cik ni ajak minum pulak. Tadi kata nak beli barang Awliya.’ Zahirah membebel dalam hati.
Dalam pada membebel dia mengekori langkah Haris masuk ke dalan cafe tersebut.
“Awak nak minum apa?” tanya Haris. Dia menunjukkan menu yang terpamer di skrin.
“Nak hot chocolate je lah.” jawab Zahirah. Dia sendiri tak pasti minuman apa yang sedap di cafe seperti ini. Tak pernah lagi dia menjejakkan kaki di cafe mahal sebelum ini.
Mereka mengambil tempat duduk sedikit hujung. Zahirah duduk menghadap Haris. Dia hanya menunduk. Sesekali jemarinya bermain di skrin telefon.
“Letak telefon kat tepi sekejap boleh ke? Saya nak discuss something.” kata Haris sambil membetulkan duduknya. Dia juga mencari keselesaan sebelum berbicara kepada topik sebenar.
Berdegup laju jantung Zahirah. Perlahan tangannya memasukkan telefon ke dalam beg kain yang di bawa tadi. Dia hanya menunduk menunggu Haris meneruskan kata-kata.
“First of all saya nak tanya kenapa awak panggil saya pak cik? Saya nampak tua sangat ke?” soal Haris.
Dah lama dia memendam soalan ini. Sampai sekarang dia tak boleh menerima hakikat yang Zahirah memanggilnya pak cik. Terasa begitu tua. Walaupun jarak umur mereka melayakkan panggilan tersebut. Tapi Haris tak boleh menerima.
“Kan sejak dari kecil saya panggil pak cik.” Jawab Zahirah masih menunduk.
“Ermm… Masa kecil tu lain Zahirah. Ke saya nampak tua sangat?” soal Haris tak puas hati lagi.
Zahirah hilang tingkah. Berfikir mahu menjawab soalan Haris kali ini.
‘kenapa la pak cik ni meminta sangat ni. Terus terang je lah kalau nak suruh aku panggil dia panggilan lain. Banyak sangat pusing-pusing.’ bisik Zahirah dalam hati.
Zahirah garu-garu kepalanya. Masih tak jumpa jawapan yang sesuai. Kalau kata nampak muda takut pak cik ni terlebih perasan pulak.
“Saya nampak tua ke?” Haris ulang soalan yang sama. Matanya memandang tepat ke wajah Zahirah. Menanti jawapan.
Zahirah mengeleng-geleng kepalanya. Harap pak cik Haris puas hati dengan jawapannya. Haris berdehem. Rasa puas hati dengan gelengan Zahirah.
“Okay macam ni. Saya terus terang je. Saya nak bincang tentang cadangan untuk kita bernikah. Saya tahu awak memang terkejut. Tapi saya perlu dengar jawapan dari mulut awak sendiri.” Haris tarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Dia perlu berhati-hati dalam menyampaikan hasratnya. Mahu Zahirah faham dari awal sampai akhir.
“…sekarang ni kita semua dalam situasi yang ada masalah tersendiri. Saya perlukan pengasuh untuk Awliya, awak perlukan tempat berlindung dari ayah tiri dan abang tiri awak, mak pulak tak nak duduk dekat sini lama-lama. Jadi saya rasa cadangan pernikahan kita ni adalah jalan penyelesaian semua masalah ini. Apa pendapat awak?” sekali lagi Haris mengajukan soalan yang susah untuk dijawab oleh Zahirah.
Zahirah terkebil-kebil cuba mencari jawapan yang sesuai. Alangkah baiknya kalau Pak cik Haris beri jawapan dalam bentuk objektif. Lebih mudah untuk Zahirah jawab.
“Ermm…. Saya….saya…” Zahirah tergagap-gagap. Sebenarnya dia pun tak tahu apa yang mahu dijawab.
“Atau awak ada pilihan lain? Saya tak nak paksa awak Zahirah. Ini ada kaitan dengan masa depan awak. Awak muda lagi.” Haris sambung lagi hujah nya bila melihat Zahirah masih belum dapat membuat keputusan.
“…saya faham bukan senang nak terima duda yang dah berumur macam saya ni. Apatah lagi ada anak sorang. Anak pula masih lagi baby dan perlukan banyak perhatian. Di usia semuda ini mesti awak akan rasa terkongkong dengan semua tanggungjawab ini. Kalau awak tolak pun saya faham. Jangan buat keputusan sebab awak terhutang budi. Awak fikir….”
“Pak cik!” Zahirah memanggil Haris sedikit kuat. Serta merta Haris berhenti bercakap. Haris memandang wajah Zahirah. Dia jongket kening.
“Saya setuju!” sepatah jawapan Zahirah. Lalu dia menunduk kembali.” Haris terkesima. Dia pula hilang bicara.
Haris capai cawan berisi coffee tadi lalu menghirup perlahan. Pelbagai perasaan yang sedang bermain dalam hati. Banyak perkara yang bermain dalam minda. Dia letakkan cawan di atas meja kembali selepas menghirup kopinya.
“Kalau macam tu, esok saya uruskan semuanya. Kita akan nikah secepat mungkin.” kata Haris. Zahirah menunduk semula. Jantung berdegup laju. Selepas bagi jawapan baru nak berfikir lebih panjang.
‘apa lah yang aku buat ni’ zahirah menggumam dalam hati.
“Zahirah, awak kisah ke kalau majlis kita dibuat di sini dan hanya secara kecil kecilan?” tanya Haris. Dia perlu ambil tahu juga perasaan Zahirah. Ini pernikahan pertama dia berbeza dengan Haris.
“Saya ikut je.” jawapan Zahirah membuat Haris rasa sedikit lega.
“Kalau macam tu saya akan uruskan semuanya. Kalau ada apa-apa yang awak nak bagitau boleh inform saya kemudian okay.” Haris cukup lega bila segalanya dipermudahkan.
Tak sangka Zahirah boleh menerima dia semudah itu. Tiba-tiba terasa dirinya hot pula bila bakal memperisterikan isteri semuda Zahirah. Dia tersenyum sendiri.
Zahirah yang dari tadi menunduk melirik ke arah Haris. Cuba mencari keikhlasan Haris dalam memperisterikan dia.
‘kau kahwin sebab nak selesaikan masalah je Zahirah. Termasuk masalah kau yang tak ada tempat berlindung. Jangan mengharapkan lebih.’ terdengar suara hatinya sendiri. Takut dilukai! Risau disakiti!
Seeloknya dari awal dia tidak meletakkan harapan yang tinggi. Biar semuanya berjalan mengikut ketentuan takdir. Zahirah reda dengan nasib dirinya yang sebatang kara.
Sekurang-kurangnya dengan pernikahan ini dia ada tempat berlindung selepas ini. Tak adalah dia merasakan keseorangan lagi. Dia sudah ada keluarga sendiri yang mampu mengisi kekosongan dalam hidupnya.
Zahirah harap keputusannya kali ini adalah keputusan yang tepat. Semoga ada sinar dalam hidupnya selepas pemergian ibu. Tiba-tiba Zahirah rasa sebak. Terbayang senyuman manis ibunya yang selalu ada dengannya dalam keadaan apa pun. Zahirah mengelap air yang hadir di tubir matanya.
“Awak okay ke ni?” tanya Haris yang perasan perubahan riak wajah Zahirah. Zahirah hanya mengangguk.
“Jom kita balik pak cik. Dah lama saya tinggalkan Awliya. Kesian Mak Long.” kata Zahirah.
“Okay jom.” jawab Haris sepatah.
Haris tahu Zahirah memendam perasaan sedih. Namun Haris tidak berniat untuk memaksanya bercerita. Untuk kali ini cukuplah keputusan yang mereka telah sama-sama putuskan. Besar harapannya agar mereka semua mendapat kebaikan dalam keputusan yang telah dibuat.