Description
Ara Dahlia — Hidup memaksa dia untuk jadi kuat sebelum sempat merasa bahagia. Seorang gadis yang belajar sambil bekerja demi membantu ibu tercinta. Ara hidup dalam bayang-bayang derita apabila ibunya berkahwin dengan seorang lelaki kaki judi, pemabuk dan tidak pernah berhenti berhutang dengan lintah darat.
Ketika hidupnya sudah cukup perit, Ara diuji dengan cinta palsu. Nazhan, seorang lelaki yang kelihatan ikhlas dan bersungguh-sungguh mengejarnya hanya berdusta. Dia lakukan semua itu kerana pertaruhan.
Pada malam dia mengetahui kepalsuan cinta Nazhan, ibu Ara terkorban dalam satu kemalangan. Dunia Ara gelap sekelip mata. Cinta yang dikhianati dan insan paling dia sayangi diragut pergi.
Ara cuba bangkit, walaupun luka masih berdarah. Gigih dia mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup. Sehingga Habibah mengajaknya bekerja bersama sebagai pembantu rumah. Ara setuju tanpa banyak bicara. Desakan hidup memaksanya untuk menerima apa sahaja kerja yang ada.
Pertama kali bertemu mata dengan lelaki itu, buat Ara diserbu rasa malu. Kejadian tersalah menaiki kereta kembali berlegar dalam ingatan. Ternyata lelaki yang berdiri di depannya adalah lelaki yang sama. Mahu disorok wajahnya tapi tak tahu nak letak di mana.
Walau malu, canggung dan serba kekok, Ara tetap bertahan apabila Dato’ Ishraq menerimanya bekerja.
Ara menyangka kehidupannya mula reda. Namun, bapa tiri yang kejam kembali muncul. Jailani memaksa Ara membayar hutang judi, dan apabila Ara enggan, dia menjadikan Ara sebagai galang ganti kepada lintah darat. Ancaman bertukar nyata apabila lintah darat datang untuk membawa Ara pergi—dan pada saat genting itulah, Dato’ Ishraq muncul menyelamatkannya.
Demi keselamatan Ara, Dato’ Ishraq menawarkan perkahwinan buat Ara Dahlia. Atas faktor keselamatan dan dalam masa yang sama ada hajat lain yang disimpan kemas dalam hatinya. Demi perlindungan Ara setuju dengan cadangan itu.
Namun, saat pernikahan hampir dimeterai, Nazhan muncul tiba-tiba.
Kebenaran yang terungka buat Ara tersentak. Dato’ Ishraq adalah bapa kepada lelaki yang mempermainkannya. Terkejut dengan kebenaran masa silam yang terbongkar, Dato’ Ishraq memberi Ara pilihan terakhir untuk bersama Nazhan, atau terus memilih dirinya.
Ara perlu membuat keputusan paling berani dalam hidupnya. Sama ada teruskan rancangan menikahi Dato’ Ishraq atau memilih terus sendiri…
Adakah bahagia semakin menghampiri atau selamanya akan kekal jauh?
Antara Dato’ Ishraq, Nazhan atau Kekal melalui kehidupan sendiri…
Ara Dahlia harus memilih…


