“Irah nak kawin dengan Pak Cik Iqbal. Irah cinta!” kata Zahirah, anak kecil berusia 5 tahun yang sangat petah berbicara. Mereka di situ semua ketawa.
Ketika itu masing-masing sibuk membuat persiapan hantaran pertunangan Haris Iqbal dan Wahida. Kak Leha ibu kepada Zahirah yang merupakan jiran Mak Long Esah menawarkan diri sama-sama membantu.
“Irah dah terlambat dah Irah, Pak cik dah nak kahwin dah pun.” kata Kak Leha berseloroh.
Haris ketawa melihat teletah Zahirah yang kelihatan comel. Dia duduk di atas pangkuan Haris sambil memegang ‘teddy bear’ yang baru dihadiahkan oleh Haris.
“Kalau nak menunggu Irah maunya berkarat dah pak cik kamu tu Irah oii.” sambung Mak Long Esah pula.
“Tak ada lah berkarat sangat mak. Tapi lepas SPM Irah terus kena kahwin dengan pak cik la.” Jawab Haris lalu terkekeh ketawa. Masing-masing terhibur dengan teletah Zahirah.
Haris teringat kembali kisah 13 tahun lepas. Kini, dia sedang berhadapan dengan Zahirah yang sudah menginjak ke usia 18 tahun. Kemunculan Zahirah dalam hidupnya kali ini membuat hidup Haris jadi tak keruan. Tak cukup dengan masalah yang sedang dia hadapi sekarang ini. Dia perlu berhadapan dengan Zahirah pula.
Tiga bulan yang lalu isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anaknya Awliya yang tidak cukup bulan. Isteri Haris, Wahida dijangkiti covid 19 sewaktu mengandung. Jangkitan yang teruk membawa kepada komplikasi pada peparu nya yang memaksa dia ditidurkan. Waktu itu Doktor membuat keputusan untuk menyelamatkan bayi mereka yang baru berusia 30 minggu dalam kandungan. Beberapa hari selepas melahirkan Wahida menghembuskan nafas yang terakhir. Ketika itu anaknya Awliya memerlukan bantuan inkubator untuk meneruskan kehidupannya.
Selepas 2 bulan doktor memaklumkan yang Awliya sudah boleh di bawa balik ke rumah. Ketika itu Haris cepat menghubungi emak nya di kampung untuk membantu menjaga Awliya sementara dia dapat mencari pengasuh untuk anaknya itu. Mak Long Esah telah bersetuju untuk membantu memandangkan anaknya sendirian. Pada hari yang dijanjikan Mak Long Esah muncul bersama Zahirah. Itulah permulaan pertemuan Haris dan Zahirah selepas sekian lama tidak bertemu dengan Zahirah.
Kini, selepas sebulan Mak Long Esah menyampaikan hasrat agar Haris menikahi Zahirah. Fikiran Haris kusut dengan cadangan yang disampaikan oleh emaknya tadi. Yang lebih membuatnya serabut apabila Zahirah hanya menurut sahaja permintaan Mak Long Esah tanpa banyak bicara.
“Macam mana dengan cadangan mak semalam Haris?” soal Mak Long Esah yang dari tadi melihat anaknya termenung di gazebo di halaman rumah banglo 2 tingkat bersaiz sederhana besar itu.
“Haris tak rasa yang Haris sesuai untuk berkahwin sekarang ni mak. Wahida baru je meninggal mak. Haris tak dapat lupakan Wahida.” keluh Haris. Dia memandang wajah maknya
“Mak tak minta pun Haris lupakan Wahida. Mak tau semuanya masih baru Haris. Tapi Awliya tu perlukan seorang ibu. Dia perlukan perhatian dan kasih sayang. Mak nampak Zahirah boleh jadi ibu yang baik.” jelas Mak Long Esah masih cuba memujuk anaknya.
Mak Long Esah melakukan ini semua untuk kebaikan kedua-dua pihak. Haris perlukan ibu untuk anaknya manakala Zahirah perlukan tempat berlindung. Mak Long tak mahu nasib Zahirah terumbang ambing lagi. Dia terlalu kasihan dengan apa yang dilalui Zahirah.
“Zahirah tu budak lagi mak. Patutnya masa macam ni dia pergi sambung belajar bukan jadi ibu.” Haris masih mempertahankan pendapatnya.
“Nasib semua orang tak sama Haris. Nasib tak menyebelahi dia untuk dia melalui kehidupan macam budak sebaya dia.” Mak Long Esah juga tak mahu mengalah.
“Mak, Haris rasa ada cara lain lagi nak selesaikan masalah ni.” kata Haris sedikit tegas.
“Tak kisah lah Haris. Tapi mak nak bagitahu awal-awal ni. Mak tak dapat nak duduk lama-lama dekat sini. Mak tak boleh duduk dekat bandar ni. Lagi sebulan sama ada kamu jumpa pengasuh atau tak mak tetap nak balik kampung. Haris cari lah pengasuh Awliya cepat ye.” Mak Long Esah maklumkan awal perancangannya untuk balik ke kampung semula. Tak betah dia berlamaan di bandar seperti ini.
Sejak dulu Haris selalu memujuknya untuk duduk di bandar bersama Haris dan Wahida namun Mak Long Esah menolak. Bandar besar ini tak kena dengan jiwanya. Dia rindukan ayam itik nya di kampung. Dia rindukan segala tanamannya. Rindukan suasana aman damai kampung.
“Mak tak kesian dekat Haris dengan Awliya ke mak?” Haris buat muka sedih.
“Mak kesian Haris tapi mak tak boleh nak duduk lama kat bandar ni. Banyak penyakit mak nanti.” luah Mak Long Esah lagi.
Haris melepaskan keluhan. Susah untuk dia buat keputusan. Nak mencari pengasuh Awliya bukan boleh sebarangan. Anaknya itu perlukan penjagaan yang lebih berbanding bayi biasa.
“Zahirah tu macam mana mak?” soal Haris. Risau juga dengan nasib si Zahirah.
“Pandai-pandai lah dia. Kalau dia nak duduk kampung balik pandai la dia jaga diri dia.” jawab Mak Long Esah bersahaja.
“Mak tak kesian dekat Awliya ke?”
“Mak kesian sangat, apa kata Haris bagi mak bawa Awliya balik kampung. Mak jaga dekat kampung je. Haris boleh kerja aman damai.” cadang Mak Long Esah. Berkerut dahi Haris. Tak sanggup nak berpisah dengan anak kecilnya itu.
Pilihan yang Mak Long Esah beri buat Haris serabut. Kalau berkahwin dengan Zahirah masalah penjaga Awliya selesai, masalah keselamatan Zahirah juga selesai. Kalau mak bawa balik kampung dia pulak yang tak senang hati berjauhan dengan anaknya.
“Dah la Haris, kamu fikirlah. Mak nak masuk. Dah lewat ni. Kamu pun jangan lama sangat berembun kat luar tu tak elok.” pesan Mak Long Esah lalu meninggalkan anak tunggalnya di situ.
Mak Long Esah melangkah masuk ke dalam rumah meninggalkan anaknya Haris yang masih duduk termenung. Memikirkan pilihan yang terbaik yang dia patut lakukan. Dia berbelah bahagi dengan setiap pilihan yang ada di depan matanya. Sama ada berkahwin dengan Zahirah atau melepaskan Awliya balik ke kampung. Keduanya membuatkan Haris runsing.