Dari tadi Haris menunggu ketibaan mak nya yang datang dari kampung. Semalam bila dimaklumkan Awliya sudah boleh keluar dari hospital cepat-cepat dia menghubungi mak untuk meminta bantuan menjaga Awliya sementara mencari pengasuh. Haris risau dan gelisah. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjaga anak kecil. Ini pengalaman pertamanya. Setelah 12 tahun berkahwin akhirnya mereka dikurniakan rezeki anak namun takdir yang telah tertulis di mana Wahida telah pergi meninggalkanya untuk selamanya.

Dari jauh Haris nampak mak berjalan sambil berpimpinan dengan seorang gadis. Sambil sebelah lagi tangan masing-masing memegang beg pakaian. Haris keluar dari kereta mendapatkan mak nya.

“Mak…” panggil Haris.

Mak Long Esah menoleh ke arah suara yang dikenalinya. Haris hulur tangan bersalaman dengan mak lalu mencium kedua belah pipi emaknya. Tangan Haris mencapai beg di tangan emak.

“Dah lama ke sampai?” tanya Mak Long Esah.

“Dalam 15 minit mak. Haris menoleh pada gadis di sebelah emaknya yang dari tadi menjadi pemerhati. Haris tarik lengan emaknya merapatinya.

“Anak sape pulak mak bawak ni?” soal Haris berbisik di telinga Mak Long Esah.

“Ni anak Kak Leha si Zahirah tu. Tak kan kamu tak ingat.” jawab Mak Long Esah. Berkerut dahi Mak Long Esah bila Haris tak mengenali anak jiran mereka.

“Kenapa mak bawak dia sekali?” Haris garu-garu kening. Tak ada pula emaknya bercerita malam tadi. Tiba-tiba hari ni muncul berdua.

“Panjang ceritanya. Nanti dekat rumah mak bagitahu.” malas Mak Long Esah nak menjelaskan persoalan anaknya di khalayak ramai ini.

“Kalau macam tu jom kita masuk kereta dulu.” kata Haris lalu melangkah ke kereta.

Mak Long Esah menoleh pada Zahirah yang dari tadi tegak berdiri mengalahkan tiang bendera. Tiba-tiba jadi pendiam pula. Tadi bukan main rancak berbual.

“Jom Irah ikut Mak Long.” Mak Long Esah mengamit Zahirah supaya mengikutinya. Zahirah mengekori langkah Mak Long Esah. Mereka beriringan melangkah ke kereta Haris. Haris sudah siap menunggu.

Sedang leka memandu sesekali Haris melirik ke cermin pandang belakang. Melihat Zahirah yang leka dengan telefon di tangannya. Lain betul wajah Zahirah. Berbeza dari dulu. Sudah lama Haris tak bertemu Zahirah. Kalau balik ke kampung sekalipun tidak pernah terserempak dengannya. Mungkin dia jarang keluar rumah atau dia tinggal di asrama. Haris tak pasti.

“Apa yang beria sangat duk tengok anak dara orang tu Haris?” tegur Mak Long Esah. Haris kaget. Tak sangka emak nya memerhati tingkahnya.

“Mana ada mak. Haris duk tengok kereta belakang tu.” jawab Haris pantas. Yang penting dapat menutup rasa malu.

“Eleh… macam lah mak ni tak kenal kamu Haris. Orang lain kamu boleh la nak tipu. Kalau mak… tak payah la.” Mak Long Esah senyum senget. Geli hati melihat sikap anaknya.

“Mak, petang ni kita kena ambil Awliya dekat hospital ye mak.” Haris menukar tajuk perbualan. Dengan mak dia tak kan menang. Baik dia mengaku kalah saja.

“Ye lah. Mak pun tak sabar nak jumpa cucu mak.  Dah 2 bulan kan umurnya?” Haris mengangguk turut teruja.

“Dah 2 bulan mak. Berat pun dah naik. Semalam Haris pergi tengok. Sebiji muka Wahida mak.” Haris tersenyum.

Teringatkan isterinya. Sedih memang sedih. Teramat sedih kehilangan orang yang tersayang namun dia ada Awliya yang perlu diberi perhatian. Mak Long Esah melirik ke arah anaknya. Dia tahu Haris memendam rasa kerinduan dan kesedihan kehilangan seorang isteri yang dia sayang. Mak Long Esah simpati dengan nasib Haris. Berat ujian anaknya ini.

“Haris kena kuat untuk Awliya. Dia perlukan Haris.” pesan Mak Long Esah pada Haris. Haris mengangguk faham. Sememangnya dia perlu kuat.

Sampai di rumah Haris menjemput mak dan Zahirah masuk. Rumah itu kelihatan tidak terurus. Mak Long Esah menggeleng-geleng. Sedih melihat keadaan anaknya ini. Pasti hidup Haris tunggang langgang nak mengurus semuanya. Jatuh simpatinya pada Haris.

“Mak, beg pakaian mak Haris dah letak dalam bilik mak biasa guna tu. Nanti mak masuk la ye, solat ke rehat dulu.” kata Haris yang baru turun dari tingkat atas.

“Zahirah biar duduk dengan mak je dalam bilik tu Haris.” kata Mak Long Esah. Haris mengangguk.

“Kalau nak rehat naik atas dulu Zahirah.” kata Haris pada Zahirah.

“Mak Long, Irah naik dulu ye.” Mak Long Esah mengangguk.

Zahirah melangkah naik ke tingkat atas. Dia tercari-cari bilik yang di maksudkan Haris tadi. Dia berdiri di hadapan pintu salah satu bilik di tingkat ini. Dia mengaru-garu kepalanya. Baru sahaja tangan mahu memulas tombol pintu. Terdengar namanya di panggil.

“Zahirah…” Zahirah menoleh memandang suara yang memanggilnya. Tak lain tak bukan suara Haris.

“Bilik awak dan mak kat hujung sana.” Haris menunjuk bilik yang ada di hujung sekali.

“Maaf…maaf… pak… pak cik.” kata Zahirah. Dia tergagap-gagap. Segan dengan Pak Cik Haris. Kalau masa kecil dulu memang lah dia manja sangat dengan Haris. Tetapi situasinya berbeza sekarang ini.

Zahirah melangkah ke arah yang ditunjukkan Haris. Haris hanya memerhati langkah Zahirah. Kalau ikutkan dia tak selesa ada nya orang luar dalam rumah ini. Tetapi bila mendengar alasan mak tadi dia terpaksa lah menerima juga. Kasihan pula kalau tidak di bantu. Lagipun ada betulnya kata-kata mak. Boleh Zahirah membantu mak menjaga Awliya. Mak pun dah berumur. Tak berdaya nak menjaga bayi.

Haris masuk ke dalam biliknya. Dia mahu berehat sekejap sebelum dia keluar semula mahu menjemput Awliya. Entah macam mana kehidupannya selepas ini agaknya. Ada rasa cemas. Maklumlah ini pengalaman pertama. Nak membesarkan anak seorang diri tanpa isteri pula. Pasti mencabar.

Haris berbaring di atas katil. Terkenangkan arwah isterinya hati dipagut sayu. Video call terakhir sebelum dia ditidurkan. Senyuman manisnya menjadi bekalan buat Haris terus bertahan.

“Bie, kalau umur I tak panjang you jangan bersedih lama-lama. You kena teruskan hidup. Jaga anak kita baik-baik.” Antara pesanan terakhir Wahida pada Haris.

“Hunny, jangan cakap bukan-bukan please! Bie yakin hunny akan sihat semula. Kita besarkan anak kita sama-sama.” Haris cuba memberi semangat pada isterinya.

Wahida hanya tersenyum memandang nya. Tika itu Wahida tak mampu nak berbual lama. Dia mudah tercungap-cungap. Sedih melihat keadaan isterinya. Lebih sedih lagi bila tidak mampu untuk berada di sisinya saat itu.

Saat doktor menghubunginya menyatakan tentang pemergian isterinya untuk selamanya kaki Haris rasa longlai. Dia terduduk ke lantai meratap pemergian isterinya. Kehadiran Awliya yang dinantikan berbelas tahun akhirnya membawa Wahida pergi meninggalkan Haris sendirian.

Selepas dua bulan, hari ini Haris perlu kuat untuk membesarkan Awliya sendirian. Haris teringat bilik untuk Awliya masih belum siap di kemas. Semalam dia berkemas tetapi tak sempat selesai kerana dia perlu berkejar untuk menguruskan hal pejabatnya. Sekarang baru dia teringat. Cepat Haris bangun dari perbaringan lalu melangkah ke bilik Awliya di sebelah biliknya.

Pintu bilik itu di buka. Dia mengaru-garu kepalanya. Jujurnya dia tak berapa pandai mengemas dan menyusun atur barang rumah. Itu yang membuatkan Haris kekok.

“Kamu buat apa tu Haris?” tanya Mak Long Esah yang dari tadi melihat anaknya seperti tak tentu arah seolah kebingungan.

“Baru teringat bilik Awliya tak kemas lagi mak.” Mak Long Esah menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tak apa, mak minta Zahirah kemas sekejap lagi.”

“Boleh ke mak?” tanya Haris.

“Apa pulak tak boleh nya. Nanti mak bagitau dia.”

“Alhamdulillah, kalau macam tu lega Haris rasa. Dari tadi duk fikir macam mana nak mengemas.” Haris tersengih-sengih.

“Kamu tu dari dulu memang tak pandai mengemas.” jawab Mak Long Esah. Haris dah tersengih sengih.

“…dah lah. Mak nak masuk bilik, nak solat kejap. Haa…lagi satu, nanti pergi beli barang dapur. Kat dapur satu apa pun tak ada mak tengok. Macam mana la hidup kamu ni Haris. Tunggang langgang.” Sempat Mak Long Esah membebel pada anaknya ini. Haris dah garu-garu kepala.

Dia akui memang hidupnya kelam kabut sejak ketiadaan Wahida. Sebelum ini semuanya Wahida yang uruskan. Haris tidak pernah ambil tahu. Rumah sentiasa kemas, makanan siap terhidang, pakaian dia juga sudah disediakan oleh Wahida.

Ketiadaan Wahida sangat memberi kesan pada hidup Haris. Semua nya tunggang langgang. Lihat sahaja keadaan rumahnya yang tidak berkemas. Seperti rumah tiada penghuni.

Zahirah duduk di birai katil bersaiz queen itu selepas menunaikan solat zuhur. Dia seperti biasa leka menatal skrin telefonnya. Melihat berapa banyak tanda suka dan komen yang telah diterima di video yang baru sahaja di muat naik di akaun tik tok nya sebentar tadi. Inilah salah satu aktiviti kegemaran Zahirah. Selain tik tok dia juga aktif di Instagram.

“Dah siap solat Irah?” tanya Mak Long Esah bila melihat Zahirah leka tersengih-sengih mengadap telefon.

“Dah mak long. Baru siap.” jawab Zahirah.

“Baguslah tu. Kejap lagi Mak Long nak minta tolong kamu kemaskan bilik untuk Awliya boleh?  bersepah sangat tu.”

“Boleh sangat Mak Long. Irah pun tak ada apa nak buat ni.” jawab Zahirah.

“Alhamdulillah. Terima kasih Irah. Lega Mak Long dengarnya. Mak long risau tengok si Haris tu. Rumah dia tak terurus langsung. Irah pun boleh nampak kan.” keluh Mak Long Esah. Siapa je yang tak risaukan kehidupan anak yang tunggang langgang macam ni.

“Mak Long jangan la risau. Nanti Irah bantu mana yang patut ye. Irah pun duduk menumpang dekat sini. Memang patut Irah bantu.” kata Zahirah.

“Siapa yang tak risau Zahirah bila tengok dia macam ni.”

“Irah faham Mak Long. Tapi kan Irah nampak Pak cik macam tak suka kehadiran Irah. Mungkin Pak cik tak selesa kot kan.” tanya Zahirah.

Dari tadi lagi dia teringin bertanya Mak Long akan hal ini. Dari pandangan mata Haris dia nampak riak kurang selesa akan kehadirannya di rumah ini. Namun Zahirah terpaksa. Kalau ada tempat lain yang boleh dijadikan tempat berlindung dia pasti akan pergi. Tak suka menyusahkan sesiapa dalam hidupnya.

“Kamu jangan salah faham Irah. Haris terkejut dengan kehadiran kamu bukannya tak suka. Mak Long tak sempat nak beritahu dia semalam.” jelas Mak Long. Zahirah lega mendengar kata-kata Mak Long.

“Terima kasih banyak-banyak Mak long, Irah terhutang budi dengan Mak Long. Kalau tidak tak tau macam mana hidup Irah sekarang ni.”

“Tak apa Irah. Mak long tolong apa yang patut. Buat masa ni kita duduk dekat sini dulu. Dalam pada tu nanti kita fikir cara nak selesaikan masalah kamu tu. InsyaAllah pasti ada jalan keluar nanti.”

“Harapnya macam tu lah mak long. Irah harap sangat dapat keluar dari hidup mereka. Irah tak sanggup nak berhadapan dengan mereka lagi dah.”

“Doa banyak-banyak Irah, insyaAllah semua akan selesai nanti.”

Tak lama kemudian terdengar bunyi ketukan di pintu bilik. Zahirah mencapai tudung yang ada di kerusi dia melangkah ke arah pintu lalu membuka.

“Mak ada, bagitau mak saya tunggu dekat bawah.” kata Haris bila melihat wajah Zahirah yang muncul di muka pintu.

“Mak Long dah turun bawah Pak cik.” jawab Zahirah. Dia serba salah mahu memanggil Haris dengan panggilan apa. Walaupun dulu dia memanggil Pak cik. Namun kelihatan panggilan itu agak tidak sesuai dengan Haris sekarang ini. Wajah Haris tak menggambarkan yang Zahirah sesuai memanggil nya Pak cik. Untuk mengelakkan hubungan mereka lebih kekok, Zahirah tetap memanggilnya Pak cik seperti dulu-dulu.

Haris terus melangkah ke tingkat bawah bila mendapat tahu mak nya sudah menunggu. Dalam hatinya juga bercelaru bila mendengar panggilan ‘pak cik’ dari Zahirah.

‘Tua sangat ke muka aku ni?’ Haris berkata-kata dalam hati sambil mengusap wajahnya. Terasa tua pula. Rasa tak puas hati pula bila Zahirah memanggilnya Pak cik.

‘Panggil abang pun boleh kot. Beza 20 tahun jer. Muka aku pun baby face.’ bebel Haris sendirian.