Mengalir airmata Haris saat melihat zuriatnya yang sudah membesar dengan sihat saat jururawat menyerahkan Awliya kepadanya. Sayu hati tatkala memikirkan nasib Awliya yang akan membesar tanpa kasih sayang ibunya. Lemah kakinya mahu meneruskan langkah. Namun Haris perlu terus kuat demi Awliya. Zuriat yang diidamkan oleh dia dan Wahida sekian lama.

Gambaran wajah ceria dan gembira Wahida ketika menyampaikan berita kehamilannya setelah 12 tahun berkahwin kembali menggamit ingatan Haris. Haris tersenyum melihat zuriatnya di depan mata. Awliya Zahra. Nama yang dipilih oleh Wahida.

Mak Long Esah mengusap lembut belakang badan anaknya. Dia dapat rasakan apa yang sedang dilalui oleh Haris tika ini. Sesungguhnya Allah menguji seseorang mengikut kemampuannya. Dia yakin Haris mampu menempuhi ujian ini. Sebagai ibu, dia akan membantu setakat yang dia mampu.

“Comel betul si Awliya ni kan Haris. Putih gebu.” Kata Mak Long Esah semasa dalam perjalanan pulang.

Dia memangku satu-satunya cucu yang dia ada. Sesekali dia menguis pipi si kecil Awliya yang kemerahan.

“Mak tengok lah daddy dia mak. Mesti la dia cantik. Kat siapa lagi nak menurun kekacakan Haris ni kalau bukan Awliya kan.” jawab Haris lalu terkekeh ketawa. Mak Long Esah mencebik. Begitulah Haris dan Mak Long Esah. Memang selalu bergurau.

“Awliya ni perempuan Ris, mesti lah menurun keanggunan nenek dia ni.” kata Mak Long Esah tak nak kalah. Mereka berdua ketawa.

“Iye la tu mak. Masing-masing tak nak kalah. Harap Awliya tak menurun perangai masuk bakul daddy dengan nenek ni.” kata Haris lalu ketawa.

Sampai di rumah Mak Long Esah mengendong cucu nya lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Zahirah sudah sedia menunggu.

“Ya Allah comel nya baby ni Mak Long. Geram pulak Irah tengok ni.” Zahirah teruja saat melihat Awliya yang lena tidur di pangkuan Mak Long Esah.

Muncul Haris membawa barang-barang Awliya yang di bawa dari hospital tadi.

“Bilik Awliya dah siap kemas ke Irah?” tanya Mak Long Esah.

“Siap dah Mak Long.” jawab Zahirah. Dia duduk di sebelah Mak Long Esah sambil mencuit-cuit pipi gebu Awliya Zahra.

Haris pula terus naik ke tingkat atas menuju ke bilik Awliya untuk meletakkan semua barangan keperluan Awliya. Terpengun Haris melihat kekemasan bilik anaknya itu setelah dikemas oleh Zahirah. Ternyata ada kebaikannya Mak membawa dia ke sini. Kemas dan bersih! Semuanya diatur dengan baik. Tidak seperti sebelum ini.

Sedang Haris sibuk menyusun barang-barang Awliya muncul Mak Long Esah dengan Awliya yang sudah mula merengek.

“Kenapa tu mak?” tanya Haris.

“Mak rasa dia berak ni Ris. Haris tukarkan lampin dia. Mandikan sekali. Dah petang ni.”  kata Mak Long Esah pada anaknya.

Haris mengaru-garu kening. Mencerna arahan dari mak nya. Ini pertama kali dia mahu memandikan bayi sekecil ini. Haris agak gugup.

“Mak, Ris tak pernah lagi mandikan baby ni mak. Tak tau caranya. Mak ajar dulu boleh ke?” tanya Haris jujur. Mak Long esah garu kepalanya yang di tutup anak tudung.

“Mak ni pun sama juga. Bukanlah pandai sangat. Anak mak pun kamu sorang je Ris. Dulu masa kamu baby, arwah ayah yang uruskan kamu.” jawab Mak Long Esah sambil tersengih. Buntu juga di buatnya.

“… Mak cuba tanya Irah. Mana tau dia pandai.” cadang Mak Long Esah.

“Ish…tak payah la mak. Budak lagi si Zahirah tu. Tak kan la dia tahu mandikan baby. Haris cuba tanya kawan-kawan lah.” Haris tak yakin gadis seusia Zahirah pandai mengurus bayi.

Sejak beberapa jam Zahirah di rumahnya dia perhatikan Zahirah melekat dengan telefon di tangan. Macam dah kena gam. Haris cuba mendail nombor kawan-kawannya tetapi tak ada yang menjawab panggilannya. Dia melepaskan keluhan.

“Petang-petang ni orang semua sibuk balik kerja la Ris. Mana sempat nak jawab call Haris tu.” bebel Mak Long Esah.

“Mak Long, ada apa-apa Irah boleh tolong ke?” Zahirah muncul di pintu bilik Awliya.

Dari tadi dia di luar bilik. Terdengar perbualan dua beranak itu. Ikutkan hati malas mahu masuk campur tetapi rasa kesian pada baby Awliya.

“Irah pandai mandikan baby?” tanya Mak Long. Haris dah mencerlung memandang mak nya dengan muka tak puas hati. Mustahil gadis muda macam ni tahu. Sedangkan dia dan mak pun tak berani melakukannya.

“Boleh Mak Long. Bagi Irah mandikan Awliya.” jawab Zahirah yang masih berdiri di muka pintu.

Haris yang dari tadi mundar mandir sambil cuba menghubungi kawannya terkejut dengan jawapan Zahirah lalu menoleh memandang wajah gadis muda itu.

“Masuk lah Irah. Kenapa tercegat dekat pintu tu.” kata Mak Long.

Zahirah melangkah masuk ke dalam bilik Awliya.  Dia menyiapkan baju, barut dan lampin yang akan digunakan Awliya selepas mandi nanti. Kemudian Zahirah menyiapkan air mandian Awliya di dalam bilik air.

Selesai semua Mak Long menyerahkan Awliya pada Zahirah. Zahirah nampak cekap menguruskan bayi kecil itu. Haris hanya memerhati dari jauh.

“Mana Irah belajar urus baby ni?” tanya Mak Long Esah.

“Sebelum ibu meninggalkan Irah tolong ibu uruskan orang dalam pantang. Sempat la belajar sikit-sikit mak long.” Ibu Zahirah, Kak Leha merupakan tukang urut wanita bersalin. Dalam masa yang sama dia membuat servis menjaga ibu di dalam pantang yang memerlukan perkhidmatannya.

“Betul juga. Mak Long pun tak ingat. Elok sangat lah kalau macam tu. Irah je la jadi pengasuh Awliya.” kata Mak Long. Haris dari tadi hanya menjadi pemerhati dan pendengar yang setia.

“Sikit-sikit boleh la Mak Long. Irah tolong ibu pun sekejap je. Sebelum ibu meninggal.” jawab Zahirah.

Selesai menyiapkan Awliya, Zahirah mahu membancuh susu. Dia mencari botol susu dan susu Awliya.

“Pak cik, susu Awliya mana ye?” tanya Zahirah pada Haris yang dari tadi hanya menjadi pemerhati.

“Aa… arr… jap… tadi ada.” Haris kalut mencari botol dan susu anaknya di dalam beg yang di bawa tadi. Mak Long turut serta mencari.

“Barang kalau tak susun memang macam ni. Susah nak cari.” bebel Mak Long. Haris dah tergaru-garu kepala.

“Mak ni, belum sempat nak susun lagi.” jawab Haris. Geram pula bila mak bebelkan dia di depan Zahirah. Segan!

“Eleh, kamu tu mana pernah pandai menyusun, mengemas Ris. Menyepah pandai.” sambung Mak Long. Haris hanya mampu tersengih.

“Ni haa…” kata Mak Long yang berjaya menjumpai apa yang di cari. Dia serahkan pada Zahirah.

“Tak apa biar Haris buat mak.” kata Haris lalu mencapai botol susu anaknya. Dia mahu keluar dari bilik ini sebentar. Segan dengan Zahirah.

Zahirah hanya tersenyum melihat gelagat dua beranak itu. Mak Long geleng-geleng kepala melihat anaknya.

“Macam mana nak tinggalkan dia jaga Awliya kalau macam ni. Risau Mak Long ni Irah.” keluh Mak Long Esah.

“Awal-awal macam tu lah mak long. Lama-lama nanti pandai lah.” jawab Zahirah sambil mendodoi Awliya yang mula merengek mahu menyusu.

“Entahlah Irah. Sebelum ada Awliya pun kelam kabut hidup dia. Tengok je lah rumah ni. Nasib ada kamu tolong kemaskan.” Mak Long Esah melepaskan keluhan.

Mana ada mak yang tak risaukan anaknya. Lebih lagi nak meninggalkan Haris bersama anak sekecil Awliya.

Haris masuk ke bilik sambil membawa sebotol susu yang siap dibancuh lalu dihulur pada Zahirah. Botol bertukar tangan. Zahirah merasa suhu susu yang dibuat Haris sebelum memberi pada Awliya.

“Mak Long masuk bilik dulu. Nak mandi. Kejap lagi nak maghrib dah.” kata Mak Long Esah sambil bangun dari duduknya.

Haris jadi serba salah. Mahu meninggalkan Awliya atau kalau kekal di bilik ini dia terasa janggal pula.

“Pak cik, biar saya jaga Awliya. Pak cik jangan risau ye.” kata Zahirah.

Dia tahu Pak cik Haris rasa serba salah. Haris hanya mengangguk lalu meninggalkan bilik itu.

Selesai solat maghrib Haris keluar membeli makanan untuk makan malam. Barangan keperluan dapur masih belum sempat dibeli lagi. Mahu mengajak mak keluar membeli barangan dia tidak sampai hati. Melihat mak sudah menyandar keletihan selepas solat tadi.

Balik dari membeli makanan Haris naik ke tingkat atas mahu memanggil mak nya makan. Semasa melintasi bilik Awliya dia berhenti seketika melihat keadaan Awliya. Ternampak Zahirah leka mengadap telefon bimbitnya. Awliya masih lena tidur di dalam baby cot.

Haris memulas tombol pintu bilik yang dihuni mak Long esah.

“Mak… jom makan. Haris dah beli makanan.” Haris duduk di birai katil. Kelihatan Mak Long Esah sedang berbaring. Dia usap kaki mak nya.

“Ermm… Mak terlelap pulak. Letih betul rasa badan ni. Dah tua-tua ni cepat betul penat. ” kata Mak Long Esah. Dia bangun dari perbaringan. Simpati Haris melihat mak nya.

“Macam mana nak jaga cucu ni mak.” kata Haris sambil tersenyum melihat wajah Mak Long Esah. Mak Long Esah tersengih.

“Ada hikmahnya mak bawa si Zahirah. Kalau tak kelam kabut kita berdua nak menjaga Awliya.” Mak Long terkekeh ketawa. Haris turut ketawa. Dia akui kata-kata mak nya.

“Kenapa tiba-tiba mak bawa dia mak? Tak ada angin tak ada ribut. Muncul je.” tanya Haris. Dari siang tadi dia menyimpan persoalan itu. Mak cuma bagitau yang dia taka da tempat tinggal sahaja. Tak ada pulak bercerita apa yang berlaku.

“Bapak tiri dengan anaknya nak mengerjakan dia Ris. Nasib sempat dia lari ke rumah kita.” Mak Long Esah melepaskan keluhan berat. Tak dapat dibayangkan nasib Zahirah kalau tak berjaya selamatkan diri malam itu.

Haris terkejut dengan kenyataan dari Mak nya. Tak sangka itu kisah disebalik kemunculan Zahirah rupanya.

“Syukur dia dapat lari. Bahaya betul lah.”

“Semua tu manusia bertopengkan binatang Ris. Mak pun terkejut tiba-tiba dia muncul depan rumah kita. Dia ketuk pintu rumah kita kemain kuat malam tadi.”

Mak Long Esah teringat kejadian yang berlaku malam tadi. Ketika itu dia sibuk mengemas kain bajunya untuk di bawa ke rumah Haris. Tiba-tiba terdengar bunyi ketukan kuat di pintu dapur rumahnya. Mulanya dia agak risau mahu membuka pintu. Takut ada orang jahat mahu ambil kesempatan.

Setelah dia mendengar suara menangis dan meminta tolong Mak Long Esah buka pintu lalu melihat keadaan Zahirah yang compang camping. Zahirah kelihatan sangat takut ketika itu.

Cepat Mak Long Esah bawa Zahirah masuk ke dalam rumah lalu mengunci pintu rumahnya. Risau kalau mereka yang mengejar Zahirah dapat melihat Zahirah di rumahnya.

Mak Long Esah juga tidak kuat untuk menjadi penyelamat Zahirah. Dia tarik Zahirah ke dalam pelukannya. Dia cuba menenangkan Zahirah.  Tak sabar mahu mendengar cerita apa yang berlaku dari mulut Zahirah sendiri.

Selepas mendengar cerita dari Zahirah, Mak Long Esah membuat keputusan untuk membawa Zahirah bersamanya ke rumah Haris. Sekurang-kurangnya Zahirah dapat lari dari kedua manusia bertopengkan binatang itu. Geram betul Mak Long Esah dengan apa yang berlaku pada zahirah. Simpati Mak Long Esah dengan nasib Zahirah.