Sejak 2 bulan pemergian ibunya, Zahirah hidup dalam ketakutan. Setiap hari dia risaukan keselamatan dirinya. 2 minggu sudah dia telah mendapat keputusan SPM. Dia bercadang mahu keluar dari rumah ini. Namun masih belum berjumpa jalan yang harus dia pilih. Dengan usianya yang masih muda, ke mana lah mahu kakinya melangkah.
Sejak dua minggu ini juga abang tirinya Kamal yang sebelum ini tinggal di bandar pulang ke kampung. Tinggal bersama dengan Zahirah dan bapa tirinya Hamid. Sebelum ini Zahirah hanya berhati-hati dengan tindak tanduk bapa tirinya. Kini dia perlu lebih berhati-hati dengan dua makhluk ini. Pandangan mata mereka berdua sangat menakutkan. Zahirah cukup dewasa untuk faham maksud yang tersirat di balik pandangan mereka.
Kalau lah Zahirah ada saudara mara yang lain pasti dia sudah pergi mencari tempat menumpang sementara mendapat pekerjaan dan keluar dari kampung ini.
Setiap hari pada waktu siang Zahirah akan menyiapkan makanan lebih awal. Selebihnya dia akan ke rumah Mak Long Esah yang merupakan jirannya. Dia akan menemankan Mak long Esah berbual atau sebenarnya dia mahu melarikan diri dari kedua manusia yang sering memandangnya dengan pandangan yang menakutkan penuh dengan nafsu.
Pada suatu pagi ketika Zahirah sedang memasak sarapan. Kamal muncul di muka pintu dapur dengan hanya berseluar pendek tanpa baju. Dia tersengeh memandang Zahirah. Zahirah mula rasa takut. Nasib baik dia sudah hampir siap memasak.
“Ada yang abang patut tolong ke Irah?” tanya Kamal bermanis mulut. Dia melangkah menghampiri Zahirah.
“Tak ada bang. Semua dah siap. Abang boleh ajak ayah makan ye.” jawab Zahirah. Jantungnya dah berdebar-debar. Dia takut Kamal akan buat sesuatu yang tidak baik padanya. Suara Kamal terdengar dekat dengan telinganya.
“Irah ni makin cantik la abang tengok.” kata Kamal lagi tanpa menghiraukan permintaan Zahirah menyuruh dia memanggil ayah.
Dia cuba mendekati Zahirah dengan lebih rapat lagi. Zahirah melangkah ke belakang sedikit menjarakkan diri.
“Abang kamal, nanti makanan tu sejuk. Makan la dulu. Biar Irah panggil Ayah.” Zahirah mahu melangkah meninggalkan Kamal di situ.
Tiba-tiba Kamal mencapai tangan Zahirah. Dia genggam erat. Zahirah ketakutan. Dalam hati dah macam-macam doa di baca. Apa yang dia syak akan berlaku nampaknya sudah bermula. Tingkah laku Kamal membuat Zahirah mula ketakutan.
“Apa abang buat ni. Jangan buat Irah macam ni bang.” rayu Zahirah.
“Alah… abang pegang tangan je. Bukan buat benda lain. Jom teman abang makan.” kata Kamal sambil tersengih-sengih. Matanya tak lari dari membelek seluruh tubuh Zahirah.
“Apa kau buat tu kamal?” kedengaran suara ayah dengan nada meninggi. Ayah muncul dari pintu belakang. Mungkin baru balik dari kedai kopi. Serta merta kamal melepaskan pegangan tangannya pada Zahirah.
Zahirah terus lari masuk ke dalam biliknya. Cepat-cepat dia mengunci pintu bilik. Zahirah melepaskan tangisannya. Di luar rumah kedengaran Ayah sedang memarahi Kamal.
“Apa masalah kau ni Kamal? Apa yang kau cuba buat?” Herdik Pak Hamid.
“Alah, pegang tangan je ayah. Tak payah nak kecoh sangat.” Kamal mendengus sambil menarik kerusi di meja makan.
Dia menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan lalu menyuap tanpa rasa bersalah. Hamid tarik kerusi berhadapan Kamal. Dia masih tak berpuas hati dengan jawapan Kamal. Hamid tau niat sebenar anaknya terhadap adik tirinya.
“Kau jangan ingat ayah tak tau Kamal.” Mata Hamid mencerlung tajam ke arah Kamal yang masih menyuap makanan dengan lahapnya.
“Ayah pun ada niat yang sama kan? Ayah ingat Kamal tak tau. Pandangan mata ayah pada budak tu bukan main tajam lagi.” Kamal terkekeh ketawa.
Sudah lama dia perhatikan ayahnya. Sejak mak tirinya meninggal dunia ayahnya yang memang kaki perempuan itu mempunyai niat tak baik pada anak tirinya sendiri. Cuma mungkin dia tidak berani bertindak mengikut keinginannya.
“Kau jangan nak merepek Kamal. Tak mungkin aku ada niat tak baik. Dia anak tiri aku.” Kamal ketawa besar bila mendengar kata-kata ayahnya.
“Macam lah Kamal tak kenal ayah.” Hamid mendengus kasar. Sakit hatinya dengan respon Kamal. Kamal memang menguji kesabarannya.
“Bini dengan anak-anak kau apa cerita Kamal. Kau tinggalkan diorang macam tu je?” Hamid alih cerita lain. Tak mahu terus membincangkan isu Zahirah. Balik-balik keburukan dia juga akan terbongkar.
“Biarlah lantak diorang kat sana tu. Tak nak dengar cakap. Melawan.” Kamal merungut.
“Memang lah. Kalau dah kamu duduk rumah tak bekerja. Siapa yang tak marah.” bebel Hamid.
“Ayah jangan nak menambah pening orang. Tahulah orang jaga keluarga orang. Ayah tak payah masuk campur.” Kamal mendengus.
“Ye lah. Aku tak masuk campur. Tapi kau jangan nak ganggu Zahirah lagi. Kalau aku tau siap kau.” Hamid bangun lalu menolak kerusi kasar. Dia naik ke tingkat atas rumah kayu itu. Mahu melihat keadaan Zahirah.
Kamal tersengih-sengih. Tahu sangat sebab ayah membela si Zahirah. Dia tahu ayah ada hati pada Zahirah. Ayahnya yang kaki judi dan kaki perempuan itu memang tak boleh dipercayai. Nasib si Zaleha terpedaya dengan ayat manis ayah. Sangkanya dapat membela nasib namun sampai ke hujung hayat terpaksa menanggung ayahnya.
Tak mustahil Zahirah pun akan mendapat nasib yang sama. Silap-silap ayah jual Zahirah kalau dia kalah judi nanti. Kalau dah namanya berjudi memang tak kan boleh dipercayai.
‘Daripada ayah jual Zahirah tu baik aku merasa dulu’ kata Kamal sendiri lalu ketawa besar. Sudah hilang kewarasan dan sikap kemanusian dalam diri kedua lelaki itu.
Malam itu selepas makan malam Zahirah masuk ke dalam bilik lalu terus mengunci pintu biliknya. Itulah yang dia akan lakukan setiap malam. Dia tidak percayakan sesiapa pun dalam rumah ini.
Zahirah sudah mula mencari kerja di bandar. Dia mahu keluar dari rumah ini. Tak sanggup lagi hidup dalam ketakutan. Tidak ada sesiapa pun yang tahu apa yang dia lalui sejak 2 minggu ini.
Zahirah leka dengan telefonnya. Melayari aplikasi tik tok dan instagram. Cuba mencari rezeki dengan menjadi affiliate dan dropship beberapa produk. Dia baru sahaja menjinakkan diri dengan perniagaan online. Ini juga salah satu dari usaha dia untuk menyimpan duit supaya dia dapat teruskan hidup berdikari.
Sedang leka membuat editing untuk video content yang ingin di hantar di media sosial, dia terdengar pintu biliknya di ketuk. Pada mulanya dia hanya membiarkan sahaja. Dia takut Kamal mahu mengganggunya.
Lama kelamaan ketukan semakin kuat. Dia terdengar suara merengis kesakitan. Dia teliti suara di pintu biliknya. Memang suara Kamal.
“Irah, tolong abang Irah. Abang sakit sangat ni.” Zahirah merapatkan telinganya di pintu.
“…tolong Irah, abang tak tahan. Sakit sangat ni. Ayah tak ada ni. Tolong abang Irah.” Zahirah dengar suara seperti menahan kesakitan. Zahirah jadi serba salah.
Hendak membantu dia takut. Tak menolong dia takut nanti dia pula dipersalahkan kalau terjadi apa-apa yang tak patut. Zahirah mundar mandir dalam biliknya sambil berfikir apa yang patut dia lakukan.
Seketika terdengar lolongan semakin kuat di luar bilik. Kamal seperti menanggung kesakitan yang amat sangat. Zahirah mula tak sampai hati. Dia genggam tombol pintu. Dia berdoa agar tak ada yang buruk berlaku pada dirinya lalu dia bertawakal pada Allah.
Ketika pintunya terbuka muncul wajah Kamal dengan sengihan yang menakutkan. Sengihan penuh nafsu serakah. Zahirah kaget. Risau dan takut memenuhi mindanya. Jantung berdegup laju. Mindanya laju memikirkan cara mahu menyelamatkan diri.
Kamal semakin menghampiri Zahirah dengan senyuman lebar. Sesekali dia jungketkan keningnya. Terserlah sisi jahat seorang manusia bernama Kamal. Sanggup dia melakukan sebegini pada Zahirah. Sedangkan Zahirah hampir sebaya anak sulungnya.
“Apa yang abang nak ni?” tanya Zahirah sambil kaki mengundur ke belakang.
“Abang nak kau la Irah. Apa lagi. Tak kan Irah tak faham.” jawab Kamal dengan sengihan penuh maksud tersirat.
“Abang jangan buat Irah macam ni bang. Berdosa abang. Irah….Irah…”
“Irah apa? Haa… Kau jangan nak banyak sangat cakap. Kalau nak senang kau bagi elok-elok. Kalau tidak kau yang susah nanti.” Kamal mula meninggikan suaranya. Kamal memang dah gila.
“Ayah… ayah…” Zahirah menjerit. Kamal melepaskan ketawa besar.
“Jangan kau panggil si tua tu. Dia dah berambus pergi berjudi kau tau. Kau ingat dia nak duduk rumah malam-malam macam ni.” Kamal ketawa besar. Puas hatinya.
“Apa abang buat ni salah bang. Boleh masuk penjara.” rayu Zahirah. Badannya sudah mula mengigil ketakutan. Esakan mula kedengaran. Dalam hati tak putus berdoa.
“Sebab tu aku nak kau bagi aku cara baik. Kita buat suka sama suka Irah. Abang akan pastikan Irah gembira.” Kamal ketawa galak.
Zahirah semakin takut. Kamal semakin menghampiri dia. Kamal cuba menyentuh bahu Zahirah. Mahu memeluk Zahirah tubuh Zahirah yang sudah 2 minggu dia idamkan.
“Baik abang jauhkan diri… jangan dekat…” Zahirah bagi amaran dalam ketakutan. Kamal ketawa lepas melihat keberanian Zahirah.
“Kalau kau melawan kau yang sakit Irah.” Kamal memberi amaran.
Perlahan Zahirah mengundur ke arah almari bajunya. Di situ memang dia ada meletakkan sebatang kayu besar untuk mempertahankan dirinya. Itu sahaja usaha yang dia ada sementara dia dapat keluar dari rumah ini.
Kamal masih leka dengan ketawa nya. Seronok dengan apa yang ada depan matanya. Dia yakin kudrat Zahirah tak kan mampu melawannya. Tak sabar dia mahu merasai nikmat bersama Zahirah. Dulu dia teringinkan Zaleha mak Zahirah. Namun ayahnya yang berjaya mendapatkan Zaleha sehingga dia tiada peluang. Kini dia tak kan lepaskan peluang yang ada.
Kamal melangkah menghampiri Zahirah. Sekuat hati Zahirah layangkan kayu itu ke bahagian kepala Kamal.
“Aarghhhh!!!!!!” Kamal menjerit kesakitan. Kedua tangannya memegang kepalanya. Kelihatan darah mengalir dibahagian dahi Kamal.
Zahirah ambil peluang untuk melarikan diri. Dia menuruni tangga dapur lalu keluar mengikut pintu bahagian dapur. Kamal yang menahan kesakitan bergegas mengekori Zahirah. Kerana kesakitan dia tersalah memijak anak tangga lalu terjatuh. Dia cuba bangun mengejar Zahirah. Dia tak akan sesekali melepaskan Zahirah malam ini. Hatinya terlu sakit.
Dalam gelap malam Zahirah berlari ke rumah Mak Long Esah. Dia mengetuk pintu sekuatnya sehingga Mak Long membuka pintu.
Sebaik pintu terbuka Zahirah cepat-cepat masuk dan menutup pintu. Zahirah tersandar di belakang pintu sambil menghamburkan tangisannya. Tangisan kesyukuran kerana selamat dari syaitan bertopengkan manusia. Mak Long Esah terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.
Dia tarik Zahirah masuk ke dalam pelukannya. Dia mengusap lembut belakang badan Zahirah. Membiarkan Zahirah melepaskan tangisannya. Sehingga Zahirah mula merasa sedikit tenang barulah Mak Long bertanya apa yang berlaku.
Selesai mendengar cerita Zahirah Mak Long mula hilang sabar. Dia mula rasa marah.
“Esok Mak long jumpa dia Irah. Kita pergi report dekat balai.”
“Jangan Mak Long. Irah tak nak ada masalah lagi. Irah nak keluar dari kampung ni. Irah nak lari dari ayah dan abang kamal. Tolong Irah mak long.” kata Zahirah masih dengan esakan halus.
“Eerrmm… kalau macam tu esok kamu ikut mak long. Mak long nak pergi Kuala Lumpur rumah Haris. Kamu ikut Mak Long ye.” kata Mak Long Esah sambil mengusap belakang badan Zahirah.
Zahirah mengangguk. Tak kisah ke mana pun asalkan dia dapat lari dari rumah itu. Rumah yang mulanya seperti syurga dia bersama ibu sudah menjadi seperti neraka. Tak mungkin Zahirah akan tinggal di situ lagi. Kedengaran esakan halus Zahirah. Kenangan bersama ibunya terpancar di ruang memorinya menambah lagi kesedihannya.