Sudah sebulan Zahirah tinggal bersama Mak Long Esah dan Pak cik Haris. Setiap hari Zahirah akan menguruskan Awliya, membuat kerja-kerja rumah dan membantu Mak Long memasak. Sambil membuat kerja-kerja dia tetap membuat content di media sosial nya untuk belajar berniaga secara online. Sampai bila dia mahu bergantung pada orang lain.

Pagi itu selepas memandikan dan menyusukan Awliya, Zahirah duduk di bilik Awliya sambil membelek telefon. Dia sedang mempelajari bagaimana cara mahu menggunakan aplikasi tik tok untuk berniaga. Sambil membelek video yang ada dia mencuba juga beberapa video yang trending yang sesuai digunakan untuk mempromosikan produk.

Tanpa Zahirah sedari ada sepasang mata yang dari tadi memandang ke arahnya.

“Tok…tok…” Aktiviti Zahirah terhenti apabila terdengar bunyi ketukan di pintu yang sedia terbuka. Pak cik Haris berdiri tegak di muka pintu.

“Pak cik nak tengok Awliya ke? Irah keluar dulu ye.” kata Zahirah. Begitulah kebiasaanya. Apabila Haris mahu bermain dengan anaknya dia akan keluar dari bilik Awliya. Jika tidak memang masanya banyak dihabiskan bersama Awliya.

“Awak tengah buat apa tu?” tanya Haris.

“Owh…ada kerja sikit.” jawab Zahirah. Terasa malu sendiri bila ada yang melihat perbuatannya tadi.

Cepat Zahirah melangkah keluar dari bilik Awliya. Dia terus ke bahagian dapur. Haris hanya mengeleng-geleng.

‘Apa je la budak-budak zaman sekarang ni. Tangan tak boleh lepas dari telefon.’ Haris mendengus.

Bukan dia tak tahu zaman sekarang macam-macam aplikasi yang digunakan oleh anak-anak muda. Sampaikan hilang rasa malu.

Terkinja-kinja, menari, tergoyang-goyang badan. Semua dipertontonkan di khalayak ramai. Tontonan pulak bukan sedikit. Seluruh dunia boleh melihat. Apatah lagi kalau video mereka viral.

Haris bukan anti kemodenan atau anti teknologi namun dia tidak berkenan dengan apa yang di lihat. Di pejabat pun sama juga keadaannya. Kakitangan yang muda-muda suka betul menghabiskan masa dengan media sosial masing-masing. Semua perkara mahu di kongsi di media sosial. Haris geleng-geleng kepala.

Zahirah turun ke tingkat bawah. Kakinya menghala ke dapur. Mencari kelibat Mak Long Esah. Mahu membantu apa yang patut. Sampai di dapur Zahirah tidak nampak langsung kelibat Mak long Esah. Dia mengintai ke ruang belakang dapur yang ada sedikit kawasan yang diletakkan pangkin. Sudah dijangka pasti Mak Long Esah duduk di situ. Sepanjang sebulan ini memang di situlah tempat Mak Long Esah menghabiskan waktu terluang. Mungkin rindukan suasana kampung.

“Mak Long!” Zahirah mengejutkan Mak Long Esah yang leka termenung.

“Ohh… mak kau!” jerit Mak Long Esah. Zahirah terkekeh ketawa.

“…suka sangat main-main kamu ni Irah. Terkejut Mak Long.”

“Mak Long tu termenung jauh sangat.” jawab Zahirah dengan sisa tawanya.

“Awliya tidur ke?” tanya Mak Long Esah.

“Haah, baru tidur lepas menyusu tadi. Pak cik baru masuk bilik tengok Awliya itu yang Irah turun.” jawab Zahirah sambil tangan masih sibuk menatal skrin telefonnya.

“Kenapa kamu panggil Haris tu Pak cik Irah? Mak Long rasa tak sesuai lah.” berkerut dahi Zahirah. Tiba-tiba Mak Long mempertikaikan panggilannya pada Pak cik Haris.

“Kan dari kecil Irah dah panggil macam tu. Dah terbiasa la Mak Long.” jawab Zahirah.

“Anak Mak Long tu walaupun beza 20 tahun dengan kamu tapi tak nampak pun macam usia kamu berdua tu jarak sangat. Kacak bergaya lagi si Haris tu.” bebel Mak Long. Entah kenapa hari ni mak long berkata sedemikian. Seperti mempromosikan anak tunggalnya pula.

“Ermmm… betul la tu. Tapi Irah nak panggil apa?”

“Panggil la abang ke?” cadang Mak Long Esah.

“Hishh… Mak Long ni. Janggal la Irah nak panggil abang.” Irah geleng-geleng kepala. Memang rasa janggal. Sejak sebulan duduk di sini jarang sekali dia berbual dengan Pak cik Haris.  Bercakap pun semua yang ada kaitan dengan Awliya sahaja. Kadang-kadang Mak Long menjadi perantara.

“Mula-mula memang la janggal nanti lama-lama biasalah. Mana tau ada jodoh dengan Haris, nanti senang.” Zahirah menoleh memandang wajah Mak Long Esah. Kasar betul gurauan mak long hari ni.

“Mak long tak payah la cakap macam tu. Pak cik Haris dah tumpangkan Irah kat sini pun Irah dah bersyukur sangat Mak Long. Kalau masih duduk kat kampung tak tau lah macam mana nasib Irah sekarang ni.” Zahirah mengeluh. Dia menunduk. Kejadian sebulan lalu kembali mengamit memorinya. Sungguh dia takut mengenangkannya.

“Benda dah lepas jangan diingat lagi Irah. Tapi kalau kamu kahwin dengan Haris pun apa salahnya. Si Awliya tu pun dah serasi dengan kamu.” Mak Long Esah masih meneruskan cadangannya pada Zahirah.

“Jangan lah mengarut Mak long.” Zahirah malas mahu melayan.

“Kalau ada jodoh kamu terima ke duda macam Haris tu?” Mak long masih mencuba.

“Kalau dah jodoh mana boleh elak Mak long.”

“Maksudnya kamu okay la kan kahwin duda anak satu?” soal Mak Long Esah. Matanya memandang pada reaksi Zahirah.

“Apa Mak long ni.” merah padam muka Zahirah. Malu sebenarnya bila dia dikaitkan dengan Pak cik Haris.

“Malu tu tanda suka tau.” Mak long masih mengusik.

“Dah la Mak long. Kalau Pak cik dengar apa la dia kata nanti. Malu Irah.” Mak long Esah ketawa melihat reaksi Zahirah.

“Entah-entah dia pun suka kot. Mana nak tau kan. Simpan je perasaan dalam hati.” tak habis-habis Mak Long Esah mengusik si Zahirah.

“Dah la Mak long. Tak ada nya Pak cik nak budak baru habis sekolah macam Irah ni. Kalau dia nak kahwin mesti ramai kawan-kawan dia Mak long.”

Mak Long Esah terdiam seolah berfikir sesuatu.

“…tu dah kenapa menung-menung lagi tu. Teringat kampung ke?” tanya Zahirah.

“Ingat sangat. Rindu ayam itik.” keluh Mak Long Esah.

“Pak cik dah jumpa pengasuh ke Mak Long?”

“Belum katanya.” Zahirah menarik nafas lega.

Kalau Pak cik Haris dah jumpa pengasuh bermakna dia kena pergi dari rumah ini. Ke mana kaki nya nak melangkah. Untuk pulang ke kampung memang dia tak akan lakukan.

“Kalau Mak Long balik kampung, Pak cik Haris dah jumpa pengasuh Irah kena cari kerja lain cepat-cepatlah macam ni kan?” Zahirah melepaskan keluhan. Dia menunduk. Memikirkan cara dia mahu meneruskan masa depannya.

“Mak Long ada idea. Ada satu cara nak selesaikan masalah ni.” kata Mak Long Esah dengan wajahnya yang tiba-tiba nampak ceria.

Zahirah terpinga-pinga.

“Apa maksud Mak Long?” tanya Zahirah.

“Irah kahwin je dengan Haris. Selesai masalah.” Zahirah tercengang. Blur dengan cadangan Mak Long.

“… Macam ni. Kalau Irah kahwin dengan Haris, masalah kita bertiga akan selesai.” jelas Mak Long lagi.

“Apa yang Mak Long maksudkan?” soal Zahirah pelik. Masih tak dapat mencerna dengan jelas apa yang mahu disampaikan Mak Long Esah.

“Macam ni, kalau Irah kahwin dengan Haris, Mak Long boleh balik kampung, Irah selamat duduk sini, Awliya dah ada pengasuh. Hidup Haris pun dah terurus. Bernas kan idea Mak Long.” Zahirah terangguk-angguk mengiakan maksud Mak Long.

Ada betulnya cadangan Mak Long. Selepas beberapa saat wajah Zahirah terasa berbahang. Malu dengan reaksi yang dia berikan. Seolah-olah dia telah bersetuju dengan cadangan Mak Long.

“Hish… apa la Mak Long ni. Bernas sangat lah kononnya idea tu. Semua sebab mak long nak balik kampung kan?” kata Zahirah selepas dapat berfikir dengan waras semula. Mak Long Esah terkekeh ketawa. 

Bunyi cadangannya memang seperti main-main tetapi hakikatnya sudah seminggu dia memikirkan rancangan nya itu. Dia nampak Zahirah sesuai sangat kalau dijadikan isteri Haris. Dia yakin hidup Haris dan Awliya akan lebih terurus dengan kehadiran Zahirah.

Segaja dia menyampaikan hasratnya dalam bentuk gurauan pada Zahirah hanya untuk melihat respon Zahirah. Ternyata ada rasa suka di hati Zahirah juga.

“Kalau betul-betul macam mana? Irah kisah ke tak kahwin dengan duda anak 1 macam Haris tu?” soal Mak Long Esah lagi.

“Apa la mak long merepek ni.” Zahirah dah mula malas mahu melayan.

Bukan dia tidak suka tetapi rasa segan mahu mengatakan jawapan. Dia terlalu muda untuk bersama Haris dan tak cukup layak untuk berdampingan dengan Haris yang serba serbi sempurna.

“Bukan merepek. Kalau Haris setuju Irah sanggup tak jadi Isteri Haris, mummy pada Awliya.” soal Mak Long Esah lagi.

Pada Mak Long Esah apa yang penting Zahirah setuju. Kemudian dia akan uruskan perihal Haris pula.

“Kalau dah jodoh Irah, Irah tak tolak Mak Long.” jawapan Zahirah sudah cukup buat Mak Long Esah tersenyum lebar. Sekarang dia sudah mendapat jawapan dari Zahirah. Hanya perlu mengatur strategi untuk memujuk anaknya pula.

Pandangan mata Mak Long Esah sangat berkenan melihat Zahirah menguruskan rumah dan Awliya sejak sebulan ini. Walaupun Zahirah masih muda namun dia sangat bertanggungjawab dan cekap dalam menjalankan tugasannya. Cara dia menjaga Awliya juga menyerlahkan sifat keibuan yang ada padanya. Mak Long Esah jatuh hati melihat sikap dan tingkahlaku Zahirah.

“Irah masuk dulu mak long, nak mandikan Awliya. Agaknya dah bangun dah tu.” kata Zahirah. Sebenarnya dia malu untuk terus berbicara tentang hal ini.

” Yelah, kamu masuk dulu. Kejap lagi mak long masuk.”

Baru sahaja sampai di ruangan makan, muncul Haris bersama Awliya dalam kendongannya.

“Awliya dah bangun ke?” Zahirah mengagah Awliya yang sudah berusia 3 bulan itu. Awliya sudah pandai memberi respon setiap kali orang memanggil namanya.

“Saya mandikan Awliya ye Pak cik.” Kata Zahirah pada Haris lalu mengambil Awliya dari dukungan Haris. Zahirah langsung tidak kekok menguruskan anak kecil itu. Haris hanya mengangguk.

Zahirah membawa Awliya naik ke tingkat atas untuk memandikannya. haris menghantar langkah Zahirah dengan pandangan kagum.

Hati Haris cukup tenang apabila pergi bekerja bila memikirkan anaknya di jaga dengan baik oleh Zahirah. Lagilah sehingga sekarang dia masih belum bertemu pengasuh untuk Awliya. Untuk menghantar Awliya ke pusat asuhan akan cuba dia elak buat masa ini kerana Awliya terlalu kecil.

“Apa yang beria sangat pandang anak dara orang tu?” tegur Mak Long yang baru masuk dari halaman belakang.

“Hish… mak ni. Haris tengok Awliya lah.” Mak Long Esah tersengih-sengih. Suka mengusik Haris.

“Serasi betul si Awliya dengan Zahirah kan.” kata Mak Long Esah. Haris hanya mengangguk. Tak dinafikan memang Zahirah menjaga Awliya sangat baik. Sehingga kelihatan awliya sudah mula mengenalinya.  Ketika sedang menangis sekalipun dia akan cepat terpujuk bila bersama Zahirah.

“Dah jumpa ke pengasuh Awliya?” tanya Mak Long Esah.

“Belum lagi mak.” Mereka berdua sama-sama melepaskan keluhan.

Mak Long Esah melangkah naik ke tingkat atas. Dia sudah memikirkan sesuatu. Dia akan menyampaikan hasratnya pada Haris malam nanti. Harapnya Haris akan bersetuju dengan cadangannya. Untuk memudahkan urusan semua pihak. Lagipun Mak Long Esah yakin pilihannya kali ini tepat dan akan membahagiakan anak dan cucunya.