Haris termenung sendirian. Dia teringat cadangan mak nya malam tadi. Cadangan mahu dia dan Zahirah bersatu sebagai suami isteri. Tak pernah terlintas di hati mahu berkahwin lain selepas pemergian Wahida. Namun memikirkan apa yang disampaikan oleh Mak buat Haris berbelah bahagi.
Memikirkan keadaan dirinya yang tidak terurus tanpa isteri, memikirkan Awliya yang masih tiada pengasuh, kasihan kan mak yang sudah mula bosan duduk di bandar besar sehingga kemurungan rindukan kampung. Juga simpati dengan nasib Zahirah sekiranya dia pulang ke kampung semula. Semuanya berlegar di ruang minda Haris.
“Morning Tuan Haris, pagi lagi dah termenung.” tegur Faez sahabat baiknya. Haris menoleh ke arah Faez lalu menggamit tangan memanggilnya masuk ke dalam bilik pejabatnya.
“Dah lama ke kau sampai?”
“Baru je tapi sempat juga lah tengok duda sorang ni termenung jauh. Ada masalah ke?” Faez duduk di kerusi di hadapan Haris.
“Mak aku suruh aku kahwin.” keluh Haris.
“Woww… Good news. Apa tunggu lagi bro. Kasi jadilah.” Faez teruja.
“Senang betul kau cakap kan. Kasi jadilah konon. Kau ingat kahwin ni macam buat donat ke, uli-uli siap.” Haris tunjuk wajah bengang.
“Entah-entah lagi senang dari buat donat bro.” Faez terkekeh ketawa.
“…mesti mak kau suruh kahwin sebab Awliya kan? Tapi memang betul pun. Awliya perlukan ibu. Aku sokong permintaan mak kau tu.” kata Faez lagi.
Haris dah garu-garu kepala. Sejak semalam dia serabut dengan cadangan mak nya. Memikirkan umur Zahirah yang terlalu muda juga membuatkan Haris berbelah bahagi. Sepatutnya gadis seusia itu masih bertungkus lumus menghabiskan pengajian. Namun nasib Zahirah sebaliknya.
“Kau rasa patut ke aku kahwin?” Haris memandang tepat wajah sahabatnya.
“Bergantung kepada keperluan kau bro. Fikirkan Awliya.” Haris mengangguk-angguk.
“…kau dah ada calon ke bro? Nak aku carikan?” Faez Jungketkan kening.
“Mak aku dah ada calon.” jawab Haris. Faez tunjuk wajah teruja.
“Serius la mak kau bagi cadangan siap sekali dengan calon. Perghh… untung betul. Siapa bro? Aku kenal ke?” bertalu-talu soalan Faez.
“Zahirah, anak jiran mak aku kat kampung. Dia la yang jaga Awliya sejak keluar dari hospital.” jelas Haris dengan riak wajah biasa sahaja.
“Cantik ke? Hot?” soal Faez selamba. Haris menjeling ke arah sahabatnya itu. Lain pula yang Faez fikirkan.
“Itu bukan keutamaan pada aku. Yang penting boleh urus rumahtangga dan boleh jaga Awliya. Cuma…” bukan dia tak kisah tentang cantik tetapi memang Zahirah melepasi tahap kecantikan yang mana -mana lelaki inginkan.
Dengan ketinggiannya, tubuh yang langsing, hidung yang terletak cantik. Wajah bujur sirih. Semuanya sudah cukup sempurna untuk menarik perhatian lelaki.
“Cuma apa pulak?”
“Muda sangat.” jawab Haris.
“Berapa umur dia? Kalau matang tak ada masalah bro. Tugas jaga anak kecil bukan mudah kan.” Faez beri pendapatnya.
“Baru 18 nak masuk 19. So far nampak dia okay je jaga Awliya sebulan ni. Awliya pun dah rapat dengan dia. Cuma aku tak ada perasaan dekat dia. Macam mana nak teruskan.” Luah Haris.
“Muda betul. Tapi kalau dia boleh jalankan tanggungjawab sebaiknya tak ada masalah. Perasaan tu boleh dipupuk bro. Perlahan-lahan mesti dia akan datang juga.”
“Aku serabut nak buat keputusan ni. Mak pulak dah desak lagi sebulan ada pengasuh atau tak dia tetap nak balik kampung. Sebolehnya dia nak aku nikah cepat.”
“Bakal isteri kau tu dah setuju ke?” soal Faez ingin kepastian.
“Tak tau lah. Aku tak tanya lagi.”
“Bincang la dengan dia dulu. Kalau boleh capai kesepakatan tak salah realisasikan hasrat mak kau tu.” nasihat Faez.
“Itulah, aku minta masa untuk berfikir dulu. Aku harap aku dapat buat keputusan yang terbaik.”
“Aku sebagai sahabat doakan yang terbaik untuk kau dan Awliya. InsyaAllah kalau niat baik Allah akan permudahkan.”
“Thanks bro.” Haris tersenyum memandang Faez.
“You are welcome, sebenarnya aku nak ajak kau minum ni. Lama pulak lepak dekat sini.” Faez tersengih.
“Kenapa kau tak cakap dari awal. Berbual lama sampai dah kering tekak aku ni.” mereka berdua bangun lalu melangkah ke arah cafe di banggunan pejabat mereka di tingkat bawah sekali.
Selepas seminggu berfikir, menilai, menganalisa semua perkara dari setiap sudut, Haris ambil keputusan bersetuju dengan cadangan Mak Long Esah. Hari ini Haris akan memberitahu mak tentang keputusannya.
Selepas makan malam Haris duduk di ruang tamu sambil melayan Awliya. Awliya berbaring di atas tilam menghadap televisyen. Sejak akhir-akhir ini dia sudah mula cuba meniarapkan badannya.
Mak Long Esah duduk di atas sofa sambil menonton televisyen. Zahirah sudah naik ke tingkat atas. Kebiasaanya begitulah. Zahirah jarang turut serta apabila mereka berkumpul. Zahirah akan ada apabila melibatkan Awliya sahaja atau ketika Mak Long Esah memintanya turut serta.
“Mak…” Haris memanggil Mak Long Esah yang fokus dengan cerita di televisyen.
“Ermmm…” jawab Mak Long nak tak nak sahaja. Tak mahu terganggu.
“Zahirah setuju ke kalau kami bernikah?” soal Haris.
Serta merta Mak Long Esah menoleh memandang anaknya. Perkara yang disebut Haris membuatkan dia lebih teruja dari cerita di layar televisyen.
“Kamu dah setuju nak kahwin dengan Zahirah? Dah habis fikir? Dah buat keputusan?” bertalu-talu soalan Mak Long. Nampak sangat keterujaannya.
“Kalau Zahirah setuju Haris setuju. Tapi mak jangan paksa dia. Mungkin dia ada perancangan masa depan dia sendiri.” jawab Haris. Dia tak mahu menjadi perosak masa depan Zahirah.
“Kalau kamu setuju mak merisik dia. Biar dia buat keputusan sendiri. Mak tak paksa.” jawab Mak Long Esah. Tak sabar rasanya mahu menjayakan rancangannya itu. Haris hanya mengangguk. Bersetuju dengan emaknya.
Selesai bersarapan pagi itu, Zahirah sibuk mengemas meja makan. Awliya masih lena tidurnya. Sementara Awliya tidur dia ambil kesempatan untuk membantu Mak Long.
“Irah, meh duduk sini sekejap.” panggil Mak Long Esah.
“Ada apa mak long?” tanya Zahirah sambil kaki melangkah menghampiri mak long lalu duduk di kerusi berdekatan.
“Mak long nak tanya perancangan kamu. Kamu dah ada ke rancangan nak buat apa?” Zahirah menunduk. Tak pasti lagi apa perancangannya. Mahu hidup sendiri duit masih belum cukup.
“Kalau duit simpanan dah cukup Irah nak cari rumah sewa atau bilik sewa Mak Long. Lepas tu Irah cari kerja.” jawab Zahirah.
“Ermm… niaga kamu yang dekat telefon tu okay ke?” tanya Mak Long lagi merujuk kepada perniagaan online Zahirah yang selalu Zahirah ceritakan padanya.
“Okay juga cuma Irah kan dropship jadi untung tak banyak sangat. Lagipun Irah baru lagi Mak Long.” Mak Long mengangguk tanda faham.
Zahirah hanya menunduk. Dia juga runsing memikirkan masa depannya. Tak kan sampai bila-bila dia nak bergantung pada Pak cik Haris dan Mak Long. Mereka pun bukan ada pertalian darah. Sekarang pun Zahirah dah rasa serba salah.
“Macam ni lah Irah, Mak Long nak sampaikan hajat. Haris nak memperisterikan kamu. Kamu setuju ke?” Mak Long berkata lembut. Dia capai jemari Zahirah lalu mengusapnya.
“…Mak Long tak paksa. Terpulang pada kamu nak buat keputusan. Ini masa depan kamu.” tambah Mak Long lagi.
Zahirah terkejut dengan apa yang disampaikan padanya. Dia memandang Mak Long lalu menunduk. Rasa malu pula bila duduk dalam situasi ini. Belum dapat lagi memikirkan keputusan terbaik.
“Irah… Irah…” tergagap Zahirah. Hilang kata-kata.
“Macam ni lah. Kamu fikir dulu. Nanti keputusannya kamu bagitau Mak Long. Cuma jangan lama sangat ye. Mak long nak selesaikan semua ni cepat.” kata Mak Long lagi. Zahirah hanya mampu mengangguk.
“Nanti Irah fikir ye mak long. Irah naik dulu nak tengok Awliya.” Zahirah bangun dari kerusi lalu melangkah meninggalkan ruang makan. Dia mahu mencari sedikit ketenangan untuk berfikir baik buruk setiap keputusan. Tak sangka dia akan dirisik ketika usia 18 tahun menginjak ke 19.
Sampai di anak tangga di berselisih dengan Pak cik Haris yang mahu turun pergi ke pejabatnya. Dia menaiki tangga sambil menunduk. Rasa segan mahu bertentang mata.
“Zahirah…” panggil Haris yang pelik melihat tingkah laku Zahirah pagi ini.
Zahirah berhenti melangkah. Memusingkan badan mengadap Haris namun masih menunduk.
“…Awliya baru bangun.” kata Haris.
Zahirah mengangguk lalu cepat mengatur langkah naik ke tingkat atas. Entah kenapa wajahnya terasa berbahang. Sampai di dalam bilik Awliya dia tepuk-tepuk pipinya. Menghilangkan rasa gementar.
Haris yang merasa pelik hanya jungketkan bahu. Entah kenapa sikap Zahirah nampak pelik pagi ini. Dia melangkah ke ruang tamu. Dia ternampak susuk tubuh mak nya di situ.
“Kenapa dengan Zahirah tu mak?” tanya Haris selamba.
“Kenapa pulak?”
“Entah, macam pelik je. Tunduk je jalan. Lepas tu kelam kabut tak tentu arah.” jawab Haris.
“Malu dengan Haris la agaknya.” berkerut dahi Haris.
“Kenapa pulak?” Haris duduk di sofa sambil memakai stokin.
“Mak baru je cakap dengan dia kamu merisik dia jadi isteri.” cepat Haris angkat muka memandang Mak nya yang nampak biasa sahaja.
“Dia setuju ke?” tanya Haris.
“Mak suruh dia fikir dulu. Kamu pun satu hal jugak Haris. Jumpa la dia bagitau hajat kamu tu. Mana tau ada soalan-soalan yang dia nak tanya tapi dia segan. Nikah kahwin ni bukan benda main-main. Untuk masa depan.” Sempat Mak Long Esah membebel pada Haris. Haris garu-garu pelipisnya.
“Nanti Haris jumpa dia. Haris pergi kerja dulu mak.” Haris bangun lalu bersalaman dengan Mak Long Esah.
Dalam fikirannya dah mula merencana pertemuan dengan Zahirah. Tapi dia sendiri tak tahu apa yang perlu dia cakapkan pada Zahirah. Dia juga buntu! Mencabar juga nak membina masjid kali kedua ni. Walaupun dah pernah ada pengalaman namun perasaannya berbeza. Apatah lagi semuanya kerana sebab lain dan bukan kerana cinta.
Haris sendiri belum yakin dengan keputusannya. Tetapi setelah di berfikir panjang dia rasa inilah keputusan terbaik untuk semua pihak. Hubungan pernikahan dia dan Zahirah dapat menyelesaikan banyak permasalahan.
Dia harap Zahirah akan faham dan menerima semua ini dengan hati yang terbuka. Perhubungan tanpa rasa cinta mungkin lambat berkembang. Kemungkinan akan ada masalah di mana-mana. Namun Haris akan cuba menyelesaikannya sebaiknya.
Sampai di pejabat Haris keluarkan telefonnya. Dia buka aplikasi Whatsapp. Dia mencari nama Zahirah lalu menaip beberapa ayat… Setelah itu dia memadam… Kemudian menaip semula… Cuba mencari ayat yang sesuai.
‘alahai… susahnya nak buat ayat.’ Haris garu-garu kepalanya yang tak gatal.
“Zahirah, petang ni ikut saya beli barang keperluan Awliya. Tepat pukul 5 saya ambil dekat rumah.” Hantar!
‘okaylah tu. Nanti masa keluar baru cakap.’ kata Haris pada dirinya sendiri. Rasa kekok pula nak berurusan dengan Zahirah kalau bukan berkaitan Awliya. Haris tersengih sendiri.
‘serius ke aku nak kahwin dengan bebudak tik tok ni?’ Haris fikir berkali-kali. Dia mengeleng-geleng lalu tersengih sendiri.
‘Tak apalah. Janji semua masalah boleh selesai. Perasaan boleh dipupuk kemudian.’ katanya lagi.
Seharian Haris berfikir sambil berkata-kata dengan dirinya sendiri. Memikirkan keputusannya kali ini. Berat untuk membuat keputusan apatah lagi isterinya baru sahaja meninggal dunia tetapi dia terpaksa lakukan untuk kebaikan semua orang disekelilingnya terutamanya Awliya permata hatinya.